Langkawi terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan antarabangsa menerusi penganjuran Langkawi International Tourism Engagement (LITE) 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 25 Sept ini.
Program anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan sokongan Tourism Malaysia itu memberi tumpuan kepada pembangunan segmen pelancongan diperibadikan atau bespoke travel, selaras dengan perubahan corak permintaan pelancong masa kini.
Penganjuran tahun ini menghimpunkan 31 pembeli jemputan dan wakil industri pelancongan daripada 27 syarikat mewakili 14 pasaran utama dunia, antaranya Algeria, Rusia, Belgium, Perancis, Türkiye, Singapura, Indonesia, Pakistan, Itali, Kemboja, Sepanyol, Laos, Sweden dan United Kingdom.
Empat tema utama diketengahkan menerusi program berkenaan iaitu Feel Wonder, Feel Indulgence, Feel Connection dan Feel Possibility yang bertujuan memperkenalkan Langkawi daripada perspektif lebih menyeluruh.
Ia termasuk mengetengahkan keunikan landskap semula jadi, hospitaliti bertaraf tinggi, identiti tempatan serta pengalaman pelancongan yang boleh disesuaikan mengikut kehendak pelawat.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Seri Haji Iskandar Datuk Haji Mohd Kaus berkata, LITE diwujudkan sebagai platform untuk menghubungkan pemain industri pelancongan Langkawi secara langsung dengan pembeli antarabangsa dan rakan industri dari luar negara.
“Bagi pelancong masa kini yang semakin teliti dalam membuat pilihan, pelancongan diperibadikan semakin memberi penekanan kepada pengalaman yang lebih dekat dengan minat mereka dan mempunyai nilai tersendiri.
“LITE memberi peluang untuk meneroka bagaimana Langkawi boleh memenuhi kehendak pelancong yang semakin berkembang itu,” katanya.
Sepanjang program berkenaan, peserta dibawa meneroka pelbagai tarikan semula jadi dan produk pelancongan premium di pulau berkenaan.
Antaranya termasuk Langkawi SkyCab, kawasan hutan paya bakau di Kilim Karst Geoforest serta aktiviti menunggang kuda bersama Island Horses Langkawi.
Peserta turut mengadakan lawatan tinjauan, menikmati sajian serta merasai pengalaman penginapan di beberapa resort terkemuka termasuk The Westin Langkawi Resort & Spa, The Danna Langkawi, The St. Regis Langkawi dan Berjaya Resort Langkawi.
Menerusi LITE 2026, Langkawi turut membuka ruang kepada pemain industri pelancongan antarabangsa untuk bekerjasama dalam membangunkan produk dan pengalaman pelancongan yang lebih eksklusif serta memenuhi keperluan pasaran global.

