Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dalam usaha merancakkan fasa pertumbuhan sektor pelancongan, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Traveloka hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mempromosikan Singapura sebagai destinasi pilihan pelancong dari lima pasaran utama iaitu Indonesia, Malaysia, Thailand, Vietnam dan Australia.
Malaysia terus kekal sebagai antara pasaran penyumbang pelancong terbesar ke Singapura, dengan kira-kira 1.3 juta rakyat Malaysia melawat negara itu pada tahun 2025. Di platform Traveloka, Singapura juga merupakan antara destinasi yang paling banyak ditempah oleh pengguna dari Malaysia, dengan jumlah tempahan hampir meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Ini mencerminkan permintaan yang terus kukuh terhadap perjalanan antara kedua-dua negara jiran. Berlandaskan momentum ini, pembaharuan kerjasama antara STB dan Traveloka dijangka terus memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia menerusi pelbagai kempen dan pengalaman menarik, sekali gus mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai destinasi pilihan untuk percutian jarak dekat.
Perjanjian ini meneruskan kerjasama jangka panjang yang telah terjalin sejak perjanjian pertama ditandatangani pada April 2019, Mei 2022, dan Januari 2024. Buat pertama kalinya, kerjasama ini turut diperluaskan ke Australia, salah satu pasaran utama bagi kedua-dua organisasi. Ia juga merangkumi usaha mempromosikan kedudukan Singapura sebagai hab hiburan secara langsung yang terkemuka.
Menerusi kerjasama ini, STB dan Traveloka berhasrat untuk memberi tumpuan kepada empat bidang utama, iaitu melaksanakan kempen penjenamaan bersama bagi mempromosikan Singapura di platform Traveloka, menghasilkan kandungan inspirasi destinasi untuk membantu pelancong meneroka tarikan dan aktiviti menarik di Singapura, mempromosikan pengalaman pelancongan yang berkait rapat dengan kalendar aktiviti meriah Singapura, serta perkongsian data pelancongan yang telah dikumpul serta mematuhi piawaian privasi bagi membantu STB memperkukuh strategi pemasaran Singapura mengikut setiap pasaran utama.
Peranan Traveloka adalah untuk memanfaatkan jangkauan serantaunya yang luas serta pemahaman mendalam terhadap tingkah laku pengguna untuk menyokong usaha Singapura memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pilihan pelancong.
Selaras dengan kempen STB, ‘We Don’t Wait For Fun’, kempen penjenamaan bersama ini akan memberi tumpuan kepada dua segmen pelancong utama, iaitu golongan yang baru memulakan kerjaya dan keluarga yang mempunyai anak-anak kecil. Kempen ini bertujuan menggalakkan mereka merebut peluang untuk menikmati percutian ke Singapura tanpa perlu menunggu waktu yang “sempurna”.
“Pembaharuan kerjasama ini mencerminkan kepentingan Asia Tenggara dan Australia sebagai pasaran utama kami, di samping membuktikan kukuhnya hubungan jangka panjang antara STB dan Traveloka,” kata Cik Melissa Ow, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

“Jangkauan Traveloka yang luas serta pemahaman mendalam tentang cara pelancong di rantau ini mencari dan membuat tempahan perjalanan menjadikan Traveloka rakan strategik yang penting dalam usaha meningkatkan kunjungan pelancong yang memberi nilai ekonomi tinggi serta memastikan Singapura kekal sebagai destinasi yang ingin dikunjungi berulang kali.”
Encik Albert, Pengasas Bersama Traveloka berkata, “Singapura merupakan antara destinasi yang paling digemari oleh para pengguna Traveloka, dan permintaan dari seluruh pasaran kami terus menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Peranan kami adalah sebagai rakan yang dipercayai, menghubungkan STB dengan khalayak yang tepat menerusi pemahaman mendalam tentang pengguna serta pengalaman tempahan serba lengkap dalam satu platform, sekali gus membantu mereka berkongsi tarikan Singapura kepada pelancong yang sesuai. Setelah lebih setengah dekad berkerjasama, pembaharuan ini membuktikan kepercayaan kukuh yang telah kami bina bersama.”
Kerjasama ini turut membuka ruang kepada pendekatan baharu dalam mempromosikan destinasi pelancongan. Kedua-dua pihak akan membangunkan promosi bermusim yang selari dengan kalendar aktiviti Singapura, di samping meneroka penggunaan analisis berasaskan data dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperkayakan penceritaan destinasi serta membantu pelancong menemui kandungan yang lebih relevan. Semua usaha ini akan dilaksanakan mengikut garis panduan tadbir urus data dan perlindungan privasi yang dipersetujui bersama.
Sebagai platform yang berpandukan data, Traveloka melihat inisiatif ini sebagai sebahagian daripada cara pemasaran destinasi moden yang akan dijalankan di seluruh rantau ini.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan