Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Liga 1 Indonesia Dijenamakan Semula Kepada Liga Super
JAKARTA — Liga 1 Indonesia dijenamakan semula sebagai Liga Super manakala Liga 2 pula kini menggunakan nama Liga Championship, lapor CNN Indonesia.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengarah Utama PT Liga Indonesia Baru (LIB), Ferry Paulus pada Isnin.
Penjenamaan semula liga itu menandakan kembalinya nama Super League atau Liga Super sebagai liga elit Indonesia, yang kali terakhir digunakan pada tahun 2015.
“Bermula musim ini (2025/2026) kami melakukan penjenamaan semula dengan memperkenalkan nama BRI Super League untuk Liga 1 dan Pegadaian Championship untuk Liga 2,” kata Ferry dalam satu sidang media.
Ferry menjelaskan bahawa perubahan ini dilakukan untuk memberikan wajah baharu kepada Liga Indonesia.
Walau bagaimanapun, perubahan ini hanya terpakai untuk liga profesional sahaja, manakala Liga 3 yang bersifat separa profesional masih mengekalkan nama Liga Nusantara.
Selain penjenamaan semula liga, beliau juga memperkenalkan nama baharu bagi badan bola sepak tempatan, dengan nama I-League sebagai pengendali rasmi Liga Indonesia.
“Badan ini masih kekal sebagai PT LIB, tetapi jenama kami kini adalah I-League, bukan lagi LIB,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Ferry berkata kuota pemain import bagi musim depan Super League juga ditambah.
Setiap kelab kini dibenarkan mendaftarkan 11 pemain import, namun hanya lapan sahaja yang dibenarkan beraksi serentak di atas padang.
“Musim depan, maksimum lapan pemain import dibenarkan bermain. Kelab boleh membeli pemain import sehingga 11 pemain,” katanya.
Untuk musim lalu, Liga 1 hanya membenarkan lapan pemain import didaftarkan, dan maksimum enam pemain sahaja boleh bermain dalam satu-satu perlawanan.
Sumber: CNN Indonesia