Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lima Rakyat Malaysia Ditahan Bawa 5 Kg Kokain Didakwa Ke Jepun Untuk Melancong

5 Kg Kokain
Kredit: PDRM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Lima rakyat Malaysia yang didakwa menyembunyikan lima kilogram kokain dalam pelapik kasut di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo, Jepun pada Sabtu lepas, bertolak dari Malaysia sehari sebelumnya dengan tujuan melancong.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Hussein Omar Khan berkata semakan mendapati kumpulan itu terdiri daripada enam individu berusia 19 hingga 26 tahun berlepas dari Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Bagaimanapun hanya lima daripada mereka, iaitu dua lelaki dan tiga perempuan ditahan manakala seorang lagi telah pulang ke Malaysia. JSJN PDRM dimaklumkan oleh pihak berkuasa Jepun berhubung penahanan itu pada 10 Okt.

“JSJN telah mengenal pasti kesemua individu berkenaan termasuk seorang yang telah pulang, dengan lima daripada mereka berasal dari Sarawak serta tiada seorang pun mempunyai rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hussein berkata pihak berkuasa kastam Jepun telah menjumpai dadah itu di dalam pelapik kasut dipakai kesemua suspek.

Susulan penahanan itu, JSJN akan menghantar pasukan ke Jepun bagi menjalankan siasatan serta mendapatkan maklumat berkaitan termasuk rangkaian sindiket dadah di Malaysia dan antarabangsa.

“Pihak berkuasa Jepun sedang menjalankan siasatan berhubung punca bekalan dadah diperoleh termasuk ahli dan sindiket rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa,” katanya.

Beliau menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap pelawaan untuk bercuti, khususnya jika diminta membawa beg atau barangan milik orang lain ke luar negara dan tidak menerima atau membawa barangan tidak diketahui kandungannya supaya tidak menjadi keldai dadah.

Sumber:BERNAMA