Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lima Warden Penjara Taiping Dihadap Ke Mahkamah Esok

warden penjara taiping
Gambar: BERNAMA

Lima Warden Penjara Taiping Dihadap Ke Mahkamah Esok

Lima warden Penjara Taiping akan didakwa di Mahkamah Majistret Taiping, Perak pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga banduan dalam insiden yang berlaku di Penjara Taiping pada Januari tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi JSJ Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden berkenaan yang mengakibatkan seorang banduan maut dan beberapa lagi mengalami kecederaan.

Menurut beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikembalikan pada 29 Jun lalu dengan arahan supaya lima warden terbabit didakwa mengikut beberapa peruntukan Kanun Keseksaan.

"Satu pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan terhadap satu orang warden penjara, iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera, jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara boleh sampai setahun, atau dengan denda boleh sampai RM2,000, atau kedua-duanya;

"Satu pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama terhadap dua orang warden penjara, iaitu dengan niat bersama sengaja menyebabkan cedera, jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara boleh sampai setahun, atau dengan denda boleh sampai RM2,000, atau kedua-duanya;

"Satu pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama terhadap dua orang warden penjara, iaitu dengan niat bersama sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata, jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum penjara selama tempoh boleh sampai sepuluh tahun, atau dengan denda, atau dengan sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu," jelasnya.

Menurut Kumar, pertuduhan terhadap lima warden berkenaan melibatkan tiga mangsa yang mengalami kecederaan dan akan dibuat pada jam 9 pagi, 3 Julai 2026 di Mahkamah Majistret Taiping.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebelum ini, pada 19 Disember 2025, seorang lagi warden Penjara Taiping telah didakwa di Mahkamah Majistret Taiping mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Jika disabitkan kesalahan di bawah seksyen itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Kumar menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau memanipulasi fakta memandangkan prosiding jenayah akan bermula.

Katanya, semua pihak perlu menghormati proses perundangan serta prinsip keadilan jenayah yang diamalkan di negara ini.