Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

LINDUNG 24 Jam: Kalau Tak Pernah "Claim", Ke Mana Pergi Duit Caruman Kita?

LINDUNG 24 Jam

LINDUNG 24 Jam: Kalau Tak Pernah "Claim", Ke Mana Pergi Duit Caruman Kita?

Dalam kehidupan, ada kalanya perkara yang tak diduga berlaku tanpa amaran. Bak kata pepatah, malang tak berbau.

Sebarang bencana atau kemalangan boleh terjadi dengan sekelip mata dan mungkin boleh beri kesan jangka masa panjang.

Jika keadaan ini berlaku, kos rawatan menjadi kebimbangan utama bagi kebanyakan orang. Lebih-lebih lagi bila tak ada wang simpanan yang mencukupi.

Namun, ramai tak sedar skim perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjadi salah satu penyelamat. Tambahan pula, PERKESO kini ada Skim LINDUNG 24 Jam atau Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja.

Seperti yang ramai tahu, skim yang bermula dari 1 Jun itu mewajibkan pekerja untuk mencarum secara bulanan menerusi potongan gaji.

Melalui inisiatif ini, pekerja kini boleh membuat permohonan tuntutan faedah sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu kerja.

Tapi mesti ramai yang tertanya-tanya kalau tak berlaku sebarang kemalangan dan tak pernah buat tuntutan, ke mana perginya duit caruman?

Adakah caruman yang tak dituntut dianggap ‘hangus’?

Bagi mengetahui perkara ini dengan lebih jelas, ikuti penjelasan dari Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato' Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Menurutnya, konsep keselamatan sosial telah diamalkan di lebih 190 buah negara. Duit caruman akan ditabungkan bagi membantu mereka yang memerlukan.

Seperti yang sudah diketahui, caruman bagi skim sedia ada iaitu Skim Bencana Pekerjaan (LINDUNG Pekerja) punyai kadar 1.25% dan ditanggung sepenuhnya oleh majikan.

Contohnya, jika gaji anda RM2,000, maka caruman yang terkumpul untuk setahun ialah RM300.

Jika berlaku kemalangan maut semasa kerja, waris akan mendapat faedah sebanyak 90 peratus daripada purata gaji anggapan. Ia bersamaan dengan RM1,755.

Kredit: Bernama

Walaupun baru bekerja lima hari dan kemudian meninggal dunia, waris masih boleh dapatkan faedah hasil caruman kita.

Jadi, dalam erti kata lain caruman yang tak dituntut sebenarnya disalurkan dalam tabungan untuk bantu mereka yang memerlukan.

Duit tabungan itu dibayar kepada ibu tunggal, bapa tunggal serta ibu dan ayah yang kehilangan anak. Selain itu, ia juga disalurkan kepada anak yatim dan anak yatim piatu.

Maknanya duit yang anda carum setiap bulan kepada PERKESO tak akan pernah disia-siakan. Ramai yang akan dapat manfaat darinya.

Kadar caruman LINDUNG 24 Jam

Bagi LINDUNG 24 Jam, kadar caruman yang ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dilaksana secara tiga fasa.

  1. Fasa pertama: 0.75% untuk dua tahun pertama

  2. Fasa kedua: 1.0% untuk tiga tahun berikutnya

  3. Fasa ketiga: 1.25% mulai tahun keenam dan seterusnya

Kes yang tak dilindungi bawah LINDUNG 24 Jam

Terdapat beberapa kes yang tidak dilindungi di bawah skim ini, antaranya:

  1. Kemalangan berlaku di luar Malaysia

  2. Orang Berinsurans (OB) yang merupakan pekerja asing yang menyalahgunakan pas atau permit yang sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

  3. Bencana pekerjaan sendiri di bawah Akta 789.

  4. Bencana domestik di bawah Akta 838.

  5. Keadaan yang disebabkan oleh apa-apa penyakit seperti kencing manis, demam, darah tinggi dan lain-lain.

Beza skim keselamatan sosial dan insuran swasta

LINDUNG 24 Jam berbeza daripada insurans kemalangan peribadi (Personal Accident Insurance atau Medical Card) kerana ia adalah skim perlindungan keselamatan sosial yang diwajibkan di bawah PERKESO dengan caruman yang rendah dan memberi perlindungan 24 jam terhadap kemalangan bukan berkaitan pekerjaan, termasuk faedah penggantian pendapatan, pemulihan dan perlindungan kepada tanggungan.

Manakala, insurans kemalangan peribadi pula ialah produk komersial yang menawarkan perlindungan dan pampasan yang fleksibel, namun memerlukan premium yang lebih tinggi dan dibayar secara sukarela oleh individu.

Hakikatnya, tiada siapa yang nak ditimpa kemalangan atau hilang punca pendapatan. Namun bila perkara itu berlaku, perlindungan yang tersedia mampu mengurangkan beban kewangan anda dan keluarga.

Ikuti laman web PERKESO untuk maklumat lanjut.

Ambil perhatian, pekerja yang mempunyai lebih daripada satu majikan diminta membuat pemilihan majikan untuk bayaran caruman di Portal LINDUNG Faedah https://lindungfaedah.perkeso.gov.my selewatnya pada 30 Jun 2026.