Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan tindakan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang mengiktiraf Proklamasi Penurunan Takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai perbuatan ‘tikam belakang’.
Loke berkata, persoalan utama yang perlu diberi perhatian ialah tindakan 10 Exco berkenaan yang mengangkat sumpah taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos lalu, sebelum mengiktiraf proklamasi berkenaan pada 16 September.
“Kalau tak mengiktiraf kedudukan Tuanku, mengapa sanggup angkat sumpah taat setia selepas PRN untuk membentuk Kerajaan Negeri?
“Ini perbuatan tikam belakang!” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Loke, DAP tidak pernah melakukan perkara sedemikian dan akan terus menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan.
“DAP tak pernah buat benda macam ini.
“DAP akan sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari supaya tidak mengubah fokus dalam isu berkenaan.
“Saudara Fadhli, jangan tukar ‘goal post’,” ujarnya.
Fadhli Persoal Pendirian Loke
Sebelum ini, Ahmad Fadhli mempersoalkan sama ada Loke akan menerima sekiranya Exco di negeri lain dipecat daripada jawatan oleh Raja tanpa kelulusan pihak eksekutif.
Fadhli berkata, isu berkenaan perlu dilihat dari sudut yang lebih luas dan bukan hanya berdasarkan kemelut di Negeri Sembilan.
Menurutnya, terdapat dimensi institusi, perlembagaan negeri serta tindakan dan pendirian di peringkat Persekutuan yang perlu dinilai secara keseluruhan.

