Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lori Muatan Batu Dipercayai Hilang Kawalan, Kemalangan Babit 10 Kenderaan
Semua pemandu 10 kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan, selepas susur keluar Semambu, pada petang Isnin dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kemalangan tersebut berlaku sekitar jam 2 petang, melibatkan treler, lori, kenderaan pacuan empat roda, van dan enam kereta.
Menurut beliau, mangsa terlibat terdiri daripada lapan pemandu lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 55 tahun.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika semua kenderaan terlibat dalam perjalanan dari arah Semambu menghala ke arah Indera Mahkota.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah lori membawa muatan batu dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar kereta jenis Perodua Bezza yang berada di lorong kanan dan treler di lorong kiri,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, akibat rempuhan tersebut, Perodua Bezza itu menggelongsor dan melanggar kenderaan lain di hadapannya.
“Akibat kemalangan tersebut, kesemua kenderaan mengalami kerosakan bagaimanapun tiada mangsa mengalami kecederaan,” katanya.
Tambah beliau, kes ini disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan semasa memandu sehingga menyebabkan kemalangan.
Dalam pada itu, kejadian ini menjadi tular selepas video kemalangan tersebut dimuat naik di laman sosial.
BACA: Separuh Badan Hancur, Lelaki Maut Digilis
BACA: Dinding Mydin Manjoi Runtuh, Dua Remaja Lelaki Dilapor Cedera
BACA: Lelaki Maut Tersepit Antara Rak Besi Dan Lori
Sumber: Sinar Harian