Separuh Badan Hancur, Lelaki Maut Digilis
ALOR GAJAH — Seorang penunggang motosikal dilaporkan maut dalam satu kemalangan di Kilometer 213.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi, lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah, mangsa, 38, merupakan seorang Penolong Pegawai Tanah Pejabat Daerah Tanah Melaka Tengah disahkan maut akibat mengalami kecederaan parah di kaki dan perut.
Dalam insiden sekitar jam 3 pagi berkenaan, mangsa yang berasal dari Masjid Tanah sedang menunggang motosikal Yamaha MT09 Tracer dari arah utara menghala ke selatan lebuh raya.
Bagaimanpun, mangsa dipercayai terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti nombor kenderaannya sewaktu tiba di lokasi kejadian.
BACA: Kanak-Kanak 4 Tahun Maut Dipercayai Jatuh Dari Tingkat 16
“Akibat kemalangan itu mangsa terjatuh di atas permukaan jalan lalu badan mangsa telah digilis dengan kenderaan terbabit sehingga separuh anggota badan hancur.
“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian perut hingga ke bawah kaki disahkan meninggal dunia ditempat kejadian oleh pegawai perubatan,” ujarnya sewaktu dihubungi hari ini.
Ashari berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.
“Kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk dibawa ke Puspakom bagi pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1887,” jelasnya lagi.
Anggota Tentera Brunei Terlibat Kemalangan Maut
Semalam, SK melaporkan menerusi Sinar Harian, hasrat seorang anggota Tentera DiRaja Brunei untuk menyertai program permotoran di Sandakan tidak kesampaian apabila beliau terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 39, Jalan Keningau-Tambunan.
Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu, mangsa, Sarjan Mejar Mohammad Joeriman Abdul Latif, 40, yang menunggang motosikal secara berkonvoi bersama rakan-rakannya, disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai, menjelaskan bahawa kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal dan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu oleh seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun.
Menurut beliau, mangsa bersama empat lagi penunggang motosikal sedang dalam perjalanan dari Keningau ke Sandakan.
Sumber: Sinar Harian