Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Lelaki Maut Diserang Harimau Selepas Terjun Ke Kandang Zoo Di Yorkshire

Lelaki maut diserang harimau
Kredit: The Independent --Gambar Hiasan

Seorang lelaki maut selepas diserang harimau apabila memasuki kandang haiwan itu di sebuah zoo di Yorkshire, England, pada Sabtu, lapor The Guardian.

Polis South Yorkshire memaklumkan, pihak perkhidmatan kecemasan menerima panggilan sejurus selepas jam 1.30 tengah hari selepas lelaki berkenaan memasuki kandang harimau di Yorkshire Wildlife Park, berhampiran Doncaster, sebelum diserang haiwan itu.

Lelaki maut diserang harimau

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian meskipun petugas perubatan berusaha menyelamatkannya. Keluarga mangsa juga telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Menurut jurucakap polis, serangan berkenaan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius.

Dalam pada itu, polis menjelaskan harimau terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan kekal berada di dalam kandangnya selepas kejadian, selain mengesahkan tiada ancaman lebih luas terhadap keselamatan orang awam.

Polis turut menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan rakaman video kejadian yang mengganggu emosi dan tular di media sosial.

Rakaman yang tersebar dalam talian dipercayai menunjukkan seorang lelaki dicakar dan digomol oleh harimau berkenaan di dalam kandang.

Sementara itu, pihak pengurusan Yorkshire Wildlife Park memaklumkan satu insiden serius berlaku di dalam kandang haiwan berkenaan.

Menurut kenyataan pihak zoo, prosedur tindak balas kecemasan diaktifkan serta-merta dan pasukan kecemasan hadir ke lokasi kejadian.

Pihak zoo turut memaklumkan bahawa mereka sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Keselamatan serta kebajikan pengunjung, kakitangan dan haiwan kekal menjadi keutamaan pihak pengurusan zoo itu.

Intipati
  • Seorang lelaki maut selepas memasuki kandang harimau di Yorkshire Wildlife Park, England.
  • Polis berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi meskipun petugas perubatan berusaha menyelamatkannya.
  • Pihak zoo mengaktifkan prosedur kecemasan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenal pasti punca.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan