Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lori Treler Hilang Kawalan Sebelum Terbalik
Seorang pemandu lori treler didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kenderaannya terbalik di Kilometer 0.5 Jalan Bentong-Karak, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 8.10 pagi melalui Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori treler jenis Scania yang membawa muatan cip plastik dan dipandu oleh lelaki tempatan berusia 37 tahun.
"Siasatan mendapati lori treler tersebut sedang dalam perjalanan dari arah Bentong Makmur menuju ke Kuala Lumpur.
"Apabila tiba di lokasi kejadian yang merupakan jalan susur berselekoh, kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik ke sebelah kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam perkembangan sama, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas pemandu terbabit mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.
Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat dan siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Zaiham, siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan keterangan serta mengenal pasti punca sebenar kejadian secara menyeluruh.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya, khususnya pemandu kenderaan berat dan perdagangan, supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memastikan keadaan fizikal dan mental berada pada tahap terbaik sebelum memandu serta menjauhi penyalahgunaan dadah.