Pereka kandungan digital, Mohamad Sofian Abdullah atau Sofyank sememangnya terkenal dengan karya-karya video kesan khas visual (VFX) yang luar biasa.
Terbaru, Sofyank telah berkongsi hasil karya terbarunya untuk Astro Shaw Cinematic Universe: The Beginning.
"Alhamdulillah saya bersama Mshaffuan dan Nicholas Chin diberikan kepercayaan dari Asto Shaw untuk menghasilkan sebuah short teaser untuk Astro Shaw Cinematic Universe : The Beginning.
"Selamat menonton semua," katanya.
Karya arahannya itu memaparkan gabungan watak dalam filem Kahar, Polis Evo dan Keluang Man.
Ramai yang memuji video tersebut dan mengatakan bahawa ia setaraf dengan teaser filem antarabangsa.
Hasil video ini sekaligus memberi harapan kepada masa depan filem negara yang lebih berkualiti dan mampu bersaing di peringkat global.
Permulaan dunia sinematik Astro Shaw
Sementara itu, Astro Shaw berkata video tersebut menjadi tanda permulaan rasmi dunia sinematik Astro Shaw.
"Satu bayangan awal di mana watak-watak ikonik daripada filem dan siri premium Astro Shaw bersatu dan berkongsi satu dunia yang sama," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen berkata kemahiran Sofyank sememangnya memberi manfaat kepada pertumbuhan filem tempatan.
"Power gila. Masa aku tengok ni aku cuma tertanya siapa yang direct teaser ni sebab mantap gila. Inilah cinema yang sebenar," kata seorang netizen.
"Mindblown betul tengok kualiti tempatan. Fly high," kata seorang lagi.
Sebelum ini, Sofyank meminta orang ramai mendoakan agar pengambaran video itu berjalan lancar.
“Kami merendah diri ingin meminta doa semua yang sentiasa menyokong kami
“Semoga projek kali ini menjadi sebuah permulaan sesuatu yang penuh bermakna untuk kami dan semoga karya kali ini dapat memenuhi citarasa dari peminat-peminat filem Malaysia,” ujarnya.