Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Lulus Ya Cikgu”- Fadhlina Luluskan RM150,000 Bina Laluan Jetfloat Demi Murid Pedalaman

fadhlina
Kredit: Facebook Fadhlina Sidek

“Lulus, ya cikgu.”

Itu jawapan ringkas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek selepas seorang guru dari kawasan pedalaman memohon bantuan untuk memperbaiki laluan yang digunakan anak muridnya setiap hari ke sekolah.

Fadhlina berkata, beliau telah membuat semakan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dan mendapati kos pembinaan laluan menggunakan modul Jetfloat adalah sebanyak RM150,000.

Menurutnya, beliau turut meminta pihak JPN mengambil tindakan selanjutnya bagi merealisasikan kemudahan berkenaan demi keselesaan warga sekolah.

“Saya telah membuat semakan dengan pihak JPN Pahang. Berdasarkan semakan tersebut, kos bagi laluan ini adalah sebanyak RM150,000 untuk modul Jetfloat.

“LULUS, ya cikgu. Saya telah meminta pihak JPN untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Semoga usaha ini dapat memudahkan urusan cikgu serta memberi manfaat dan keselesaan kepada anak-anak,” ujarnya.

Kredit: Threads Fadhlina Sidek

Sebelum itu, seorang pengguna Threads, le_akmal, berkongsi keadaan laluan yang digunakan anak muridnya setiap pagi untuk ke sekolah.

“Salam Dato' Seri, ni laluan anak murid saya tiap-tiap pagi nak pergi sekolah. Boleh Dato' Seri belanja kayu tak, saya nak murnikan laluan titi ni,” katanya dalam hantaran yang ditujukan kepada Fadhlina.

Perkongsian itu kemudiannya mendapat perhatian Menteri Pendidikan berkenaan.

Malah, guru tersebut turut menjelaskan bahawa pihak sekolah sebelum ini sudah menerima bantuan bot dan enjin untuk kegunaan pelajar yang tinggal di seberang tasik.

Namun begitu, menurutnya, keadaan air yang surut menyebabkan bot tidak dapat menghampiri tebing, sekali gus menjadikan pembinaan titi sebagai satu keperluan.

“Dah ada bantuan bot dan enjin untuk kegunaan pelajar seberang tasik, tapi bila air surut bot tak lepas sampai ke tebing. Memang perlu buat titi.

“Sebelum ni cikgu-cikgu dah buat titi tapi daif sikitlah rupa dia. Kalau Dato' Seri sedar posting ni, bolehlah belanja kayu untuk buat titi lawa lagi,” jelasnya.

Dalam hantaran berasingan, guru itu turut berkongsi sebuah video yang memaparkan cara pelajar melalui laluan berkenaan untuk ke sekolah.

“Boleh tengok video ni cara mereka ke sekolah. Ni dua tahun lepas punya video,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina turut menjawab persoalan segelintir pihak yang sering bertanya mengenai usaha dan tindakan yang telah dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Beliau berkata, pertanyaan seperti “Fadhlina buat apa?” adalah wajar dijawab dan menjadi sebab beliau mahu memulakan satu segmen baharu menerusi media sosial.

“Jadi selepas ini saya akan mulakan satu segmen ‘Fadhlina Buat Apa?’ untuk berkongsi satu demi satu apa yang telah dilakukan dan dicapai oleh pasukan KPM sepanjang pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Ada yang mungkin kita pernah dengar. Ada juga yang mungkin ramai belum tahu.

“Satu-satu kita cerita,” ujarnya.

Menerusi hantaran susulan, Fadhlina turut meminta maklumat mengenai sekolah guru terbabit sebelum tindakan lanjut dilakukan.

Tindakan pantas beliau itu menerima perhatian ramai apabila permintaan yang pada awalnya hanya memohon bantuan kayu untuk memperbaiki titi akhirnya membawa kepada kelulusan RM150,000 bagi pembinaan laluan menggunakan modul Jetfloat.

Sumber:@le_akmal/
Intipati
  • Fadhlina Sidek meluluskan RM150,000 untuk laluan Jetfloat selepas semakan JPN Pahang.
  • Guru berkenaan memohon bantuan membaiki titi yang digunakan murid setiap pagi.
  • Bot bantuan sedia ada tidak dapat menghampiri tebing apabila air tasik surut.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan