Sebagai ibu bapa, apa sahaja yang berkaitan dengan anak pasti akan diusahakan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi apabila melibatkan keperluan dan masa depan mereka.
Walau apa pun keadaan anak, kasih sayang ibu bapa tidak pernah berbelah bahagi dan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan anak terus mendapat kehidupan yang baik.
Begitulah kisah seorang ayah dari Korea Selatan yang menghabiskan sisa hidupnya memastikan anaknya yang menghidap autisme mempunyai tempat tinggal yang sesuai.
Bapa Berjaya Cari Rumah Untuk Anak Autisme Sebelum Meninggal Dunia

Penulis, Jeon Gyeong-cheol, 64, yang terkenal dengan gelaran “Ayah Peter Pan”, meninggal dunia pada 5 September lalu selepas usaha itu akhirnya membuahkan hasil.
Memetik The Korea Herald, Jeon disahkan menghidap kanser hati tahap akhir sekitar April tahun lalu, mendorongnya untuk membuat persiapan bagi memastikan kehidupan anaknya lebih terjamin selepas pemergiannya.
Lebih dua dekad, Jeon menjadi satu-satunya penjaga kepada anak lelakinya yang kini berusia 27 tahun dan menghidap autisme, dengan tahap perkembangannya dianggarkan setara kanak-kanak berusia dua atau tiga tahun.
Setelah didiagnos, Jeon menghubungi hampir 1,000 pusat penjagaan di seluruh Korea Selatan dalam usaha mencari tempat yang mampu menjaga anaknya selepas dia meninggal dunia.
Namun, hanya beberapa pusat berkenaan yang bersedia untuk menerima anaknya.
Jeon kemudian berkongsi kisahnya mencari tempat tinggal untuk anaknya menerusi aplikasi Brunch, sebuah platform penerbitan kandungan di Korea Selatan.
Perkongsiannya itu mendapat perhatian ramai pembaca, sebelum kisahnya dibawa ke kaca televisyen menerusi beberapa rancangan termasuk “True Story Expedition” di MBC dan “You Quiz on the Block” di tvN.
Perkongsian Jeon di Brunch kemudiannya dihimpunkan dalam sebuah buku berjudul “Annyeong, Peter Pan” yang diterbitkan pada Jun lalu.
Tersentuh dengan kisah tersebut, orang ramai mengumpulkan sumbangan kira-kira 80 juta won (RM220,000) untuk membantu Jeon dan anaknya.
Dengan sokongan yang diterima dari seluruh Korea Selatan, anak Jeon akhirnya dapat berpindah ke sebuah perkampungan komuniti untuk individu yang mempunyai masalah perkembangan yang serius.

“Saya mahu memberitahu anak saya supaya lupakan ayahnya dan hidup bahagia, tetapi saya tak mahu dia lupakan saya sepenuhnya.
“Saya harap dia masih ingat saya dengan sedikit rasa kerinduan, sebagai lelaki tua yang pernah memandangnya dengan penuh kasih sayang,” katanya ketika muncul dalam rancangan “You Quiz on the Block”.
Malah, Jeon bukan sekadar memikirkan nasib anak sendiri, namun dia turut berusaha untuk membantu keluarga lain yang berdepan situasi sama seperti dirinya.
Dia mula mengusahakan penubuhan sebuah yayasan kebajikan untuk golongan dewasa dengan autisme teruk dan masalah perkembangan serius seperti yang dialami anaknya.
Beberapa hari sebelum pemergiannya, Jeon mengumumkan penubuhan jawatankuasa persediaan bagi merealisasikan yayasan tersebut pada 26 Ogos lalu.
Jawatankuasa itu telah pun terbentuk, dan anggotanya dijangka meneruskan usaha yang dimulakan Jeon termasuk membincangkan langkah seterusnya untuk menubuhkan yayasan tersebut.
Kematian Jeon diumumkan di media sosial oleh Ketua Forum Pakar Sokongan Perkembangan, Jeong Yu-jin pada Ahad.
Menurutnya, urusan pengebumian Jeon akan dijalankan tanpa upacara penghormatan terakhir seperti kebiasaan, selaras dengan permintaannya.

