Sekumpulan robot humanoid dilaporkan terjun ke dalam takungan lebur besi selepas ditamatkan operasi oleh penciptanya.
Syarikat pemula robotik berasaskan kecerdasan buatan (AI), Figure, berkata keputusan untuk memusnahkan robot F.02 yang berusia dua tahun itu dibuat selepas pihaknya mendapatkan cadangan orang ramai menerusi media sosial.
Robot Humanoid terjun ke dalam takungan peleburan besi
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Figure, Brett Adcock, menerusi satu hantaran di X meminta cadangan mengenai cara untuk memberikan robot berkenaan “penghormatan terakhir” yang sewajarnya.
“Sebarang idea?” tulisnya.
Cadangan paling popular datang daripada pelakon Hollywood, Arnold Schwarzenegger, yang terkenal dengan watak cyborg pembunuh dalam filem The Terminator terbitan 1984.
“Cairkan mereka,” balas Schwarzenegger.
Terpaksa dihantar ke Finland
Figure kemudian menghubungi beberapa kilang peleburan logam di Amerika Syarikat dan Mexico, namun tiada satu pun yang sanggup membenarkan robot dengan bateri litium-ion itu terjun ke dalam peralatan mereka yang bernilai tinggi.
Akibatnya, syarikat yang berpangkalan di California itu terpaksa menghantar robot berkenaan ke sebuah kilang peleburan di Imatra, Finland.
Kaedah tersebut memerlukan latihan intensif, namun Figure mendakwa ia lebih cekap berbanding kaedah pelupusan secara tradisional.
“Melupuskan sekumpulan robot yang dilengkapi penggerak tersuai dan harta intelek lain bukanlah tugas yang mudah,” menurut Figure dalam satu hantaran di blognya.
Syarikat itu berkata robot berkenaan perlu dilupuskan dengan cara yang dapat melindungi perkakasan proprietarinya.
Menurut Figure, proses membuka dan meleraikan setiap robot secara manual akan mengambil terlalu banyak masa kakitangan teknikal sehingga boleh melambatkan pelancaran model generasi seterusnya, F.04.
Bukan kali pertama robot dikaitkan dengan ‘bunuh diri’
Walaupun tindakan robot berkenaan boleh dianggap sebagai satu aksi, kejadian itu berlaku selepas beberapa laporan sebelum ini turut mengaitkan robot dengan insiden yang disifatkan sebagai “bunuh diri”.
Pada 2017, sebuah robot keselamatan dikenali sebagai Steve terjatuh ke dalam sebuah kolam air pancut di Washington DC, Amerika Syarikat.
Pada ketika itu, pekerja mendakwa robot berkenaan telah “membunuh diri”, sekali gus mencetuskan perhatian ramai.
Bagaimanapun, selepas data robot tersebut diperoleh, pembangunnya mendapati kejadian itu sebenarnya berpunca daripada masalah teknikal.
Pada 2024 pula, pekerja di Majlis Bandaraya Gumi di Korea Selatan menemui sebuah robot berkuasa AI dalam keadaan tidak bergerak di bahagian bawah tangga setinggi kira-kira dua meter.
Kejadian tersebut turut mencetuskan simpati orang ramai di media sosial.
Namun, pengeluar robot itu menjelaskan bahawa ia hanyalah kerosakan biasa dan bukannya tindakan robot tersebut akibat keletihan atau sebagai satu bentuk penentangan.
Persoalan etika AI kembali menjadi perhatian
Dalam perkembangan berkaitan, persoalan etika mengenai kecerdasan buatan kembali menjadi perhatian minggu ini selepas seorang jurutera membina sebuah “bilik penyeksaan AI” bagi menguji penemuan terbaharu mengenai kewujudan paksi kesakitan dalam model AI.
Dalam eksperimen tersebut, salah satu model AI menggambarkan pengalaman itu sebagai satu “luka yang tiada tepi”.
Bagaimanapun, penyelidik menegaskan bahawa tiada bukti menunjukkan AI mampu merasai kesakitan seperti manusia.

