Rapper terkenal Amerika Syarikat, Macklemore mengumumkan bakal menganjurkan ‘Free Palestine Tour’ selepas tidak lagi terlibat dalam jelajah penyanyi Ed Sheeran.
Menerusi hantaran di Instagram, Macklemore berseloroh bahawa jadualnya kini agak lapang berikutan perubahan tersebut.
Katanya, perubahan ketara dapat dilihat sejak tiga tahun kebelakangan ini, terutama dalam sikap masyarakat terhadap isu pembebasan Palestin.
Macklemore Umum 'Free Palestine Tour'

“Semakin ramai kini menyedari kepentingan pembebasan Palestin, selain mempersoalkan pengaruh golongan bilionair yang cuba menyekat seruan itu serta peranan yang diharapkan daripada artis,” katanya.
Tambahnya, artis kini bukan sahaja diharapkan untuk menghiburkan, malah menggunakan platform dan pentas mereka untuk bersuara serta menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin.
“Sudah 2026. Tidak memihak kepada mana-mana pihak ketika genosid tidak lagi boleh diterima,” ujarnya.
Rapper berusia 43 tahun itu turut berkata apa yang berlaku terhadap dirinya bukan sekadar melibatkan dirinya sendiri atau sebuah pentas, namun lebih besar daripada itu.
“Apabila golongan bilionair boleh menentukan suara siapa yang boleh diberi ruang di pentas dan suara siapa yang dianggap terlalu berbahaya untuk didengari, semua orang perlu mengambil perhatian,” katanya.
Macklemore kemudian mendedahkan dia telah menghubungi beberapa artis yang pernah menggunakan platform mereka untuk menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin sejak beberapa minggu lalu.

“Jadi macam yang ramai tahu, jadual saya agak lapang sekarang.
“Saya telah menghubungi beberapa artis yang pernah menggunakan platform mereka untuk menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestine, tanpa memikirkan risikonya.
“Mereka yang faham bahawa platform yang kita miliki ini tidak bermakna jika hanya digunakan apabila keadaan selamat,” ujarnya.
Menurutnya, perancangan jelajah itu masih dalam proses termasuk perbincangan, jadual dan beberapa butiran lain yang belum dimuktamadkan.
“Jadi, kami akan mengadakan jelajah. Free Palestine Tour,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Macklemore memaklumkan jelajah itu buat masa ini akan berlangsung di tiga lokasi di Eropah, iaitu Dublin, Paris dan London, pada 26, 29 dan 30 Oktober.
Manakala senarai artis yang bakal menyertai jelajah itu akan diumumkan kemudian, bersama lokasi dan tarikh jelajah di Amerika Syarikat (AS).
Kesemua hasil daripada jelajah tersebut akan disalurkan kepada organisasi yang memberikan sokongan kepada rakyat Palestin serta perjuangan mereka.

