Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan Award Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) berhubung satu aduan gangguan seksual melibatkan penyebaran imej intim pengadu tanpa kebenaran melalui media sosial.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi satu kenyataan berkata pengekalan Award TAGS yang bertarikh 1 Ogos 2024 itu merupakan satu pencapaian penting.
Menerusi Award berkenaan, TAGS telah memerintahkan responden iaitu bekas teman lelaki pengadu untuk membuat pernyataan permohonan maaf secara bertulis kepada pengadu, menghadiri sesi kaunseling dan membayar ganti rugi sebanyak RM60,000 kepada pengadu.

"Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini memperkukuh peranan TAGS sebagai mekanisme keadilan yang cepat, mudah dan berkesan dalam memberikan remedi kepada mangsa gangguan seksual, termasuk gangguan seksual secara digital," katanya.
KPWKM juga menjelaskan bahawa TAGS telah ditubuhkan pada 8 Mac 2024 di bawah kementerian itu selaras dengan Seksyen 3 Akta Antigangguan Seksual 2022 atau juga disebut sebagai Akta 840.
"TAGS menyediakan satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil bagi mendengar dan memutuskan aduan gangguan seksual yang berlaku di Malaysia pada atau selepas 8 Mac 2024.
"Penubuhan Tribunal ini merupakan satu langkah penting dalam usaha negara memperkukuh perlindungan terhadap mangsa gangguan seksual serta mewujudkan masyarakat yang lebih selamat dan bermaruah.
"Mangsa gangguan seksual sama ada secara lisan, bukan lisan, secara visual, secara isyarat mahupun secara fizikal diseru untuk tampil membuat aduan kepada TAGS," ujar kementerian itu lagi.
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Talian Kasih 15999, WhatsApp 019-2615999 atau melayari portal rasmi TAGS di tags.kpwkm.gov.my/portal.