Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengarahkan satu pertemuan segera melibatkan waris, pengurusan Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam, Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu dakwaan kelewatan pengebumian jenazah yang tular baru-baru ini.
Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, langkah itu diambil bagi memastikan penyelesaian terbaik dapat dicapai selain mengelakkan insiden sama berulang pada masa hadapan.
Menurut beliau, MAIS turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga waris yang terlibat dan menzahirkan rasa dukacita atas kejadian yang berlaku ketika mereka sedang berdepan kehilangan insan tersayang.
“MAIS memberi jaminan bahawa segala dapatan hasil siasatan pihak polis, sama ada melibatkan unsur jenayah, kecuaian atau salah faham komunikasi antara pihak terlibat, akan diteliti dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, MAIS mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad pada Sabtu lalu berhubung hasil siasatan awal berdasarkan maklumat daripada pihak pengurusan masjid mengenai insiden terbabit.
Beliau berkata, pihaknya juga dimaklumkan bahawa pengurusan masjid, waris serta BKS telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Sehubungan itu, Salehuddin menasihatkan semua pihak supaya memberi ruang kepada Polis Diraja Malaysia menjalankan siasatan secara telus dan adil.
Dalam pada itu, beliau berkata MAIS akan menilai semula kaedah pengurusan jenazah orang Islam yang sedang dilaksanakan di masjid-masjid bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan.
“Ini bagi memastikan urusan pengurusan jenazah dapat dilaksanakan dengan penuh amanah, tanggungjawab, teratur dan cekap selaras dengan tuntutan syarak,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat Islam agar terus memelihara ukhuwah dan tidak menjadikan perbezaan pandangan sebagai punca perpecahan atau kebencian.