Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bekerjasama dengan 298 Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) bagi membantu menyampaikan sumbangan fidyah MAIS terus kepada mereka yang memerlukan dengan menggunakan peruntukan fidyah secara efisyen, menyeluruh dan menepati golongan penerima.
Program agihan fidyah ini dilaksanakan oleh MAIS dengan kerjasama RSAFM yang terdiri dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), agensi kerajaan, sekolah, masjid dan surau di daerah yang terlibat.
Selain itu, MAIS juga turut melantik ejen kutipan fidyah MAIS bagi menyebarluaskan kutipan fidyah terutama di negeri Selangor iaitu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Malaysia E-Government (MYEG), Bank Muamalat Malaysia Berhad, As-Salihin Trustee Berhad dan Rakyat Trustee Berhad.


Sementara itu, MAIS hari ini mengadakan Majlis Penghargaan Rakan Strategik & Rakan Media dan Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran Tunai Fidyah Negeri Selangor Tahun 2024 yang disempurnakan perasmian oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS.
Melalui Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor yang diadakan bermula 13 Februari sehingga 11 Mac 2024, pelbagai program telah disusun antaranya ialah Program Hari Bersama Baitulmal; Bual Bicara di Radio Selangor FM; Taklimat, Tazkirah Jumaat dan Kuliah Maghrib Khas di Institusi, Masjid dan Surau Terpilih; Kaunter Pemasaran Baitulmal dan Forum Fidyah.

Pada majlis hari ini, MAIS turut meraikan rakan media dan rakan strategik sebagai satu penghargaan kepada rakan strategik yang telah memberikan komitmen tinggi bagi pelaksanaan program dan kepada rakan media memberikan sokongan melalui liputan meluas berhubung kejayaan, peristiwa dan aktiviti semasa MAIS.
Antara penerima penghargaan ini adalah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Radio Television Malaysia (RTM), Media Prima Berhad, Astro Awani, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Media Selangor, TV Alhijrah, Sinar Harian, Berita Harian, Utusan, Bernama, Kosmo, Radio IKIM, Radio Selangor, Radio Klasik, Karangkraf, rakan blogger dan sebagainya meliputi media arus perdana dan media digital.