Dalam hidup ini, kita perlu sentiasa bersedia menerima pemergian insan tersayang kerana ajal setiap manusia telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Kematian itu akan datang tepat pada masanya, tidak cepat atau lambat walau sesaat.
Apabila harinya tiba, menangislah semahunya namun jangan lupa untuk tetap bangkit dan jalani hidup kita dengan tabah. Kelak kita juga akan menyusul.
Percayalah, hanya yang pernah melalui akan memahami rindu yang yang tidak berpenghujung.
Malah hanya kenangan yang tinggal untuk kita abadikan dalam benak fikiran.
Cili Kisar Terakhir Arwah Mak
Bagi Alif Rosehaizad, cili kisar yang disediakan oleh arwah ibunya empat tahun lalu menjadi salah satu kenangan untuknya.
Menerusi perkongsian di Threads, dia memutuskan untuk memasak cili kisar terakhir itu.
“Saya ambil keputusan untuk masak cili kisar terakhir yang mak kisar empat tahun lalu. Ni cili kisar terakhir mak kat dunia ni. Saya buat ibu sambal untuk makan beberapa kali,” katanya.
Lelaki itu berkata, cili kisar berkenaan sebelum ini disimpan di dalam ruang sejuk beku dan masih lagi elok bila dikeluarkan.
Alif mengakui pada awalnya dia berasa berat hati untuk memasak cili kisar tersebut kerana ia mempunyai nilai sentimental buat dirinya.

Pun begitu, dia akhirnya mengambil keputusan untuk menggunakan cili kisar berkenaan bagi menyediakan sambal nasi lemak.
“Sebenarnya dah lama perhati cili kisar di dalam freezer dan tak tahu patut masak ke tak sebab sayang.
“Tapi sebab dia makanan, mungkin patut makan. Masa sihat dulu tak pernah masak sambal dengan mak. Jadi, dalam erti kata lain, inilah masakan terakhir yang saya hasilkan bersama mak di dunia ini. Apa-apa pun, saya nak pergi makan nasi lemak sambil menangis,” ujarnya.
Dia turut berkongsi gambar yang memaparkan hasil masakannya itu.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang turut merasakan sebak dan ada juga yang berkongsi pengalaman sendiri.
“Saya masih simpan serunding arwah mak buat dalam deep freezer. Dah 3 tahun”
“Menu terakhir yang sempat masakkan untuk apak, ketam masak lemak cili padi ada dalam freezer lagi. Memang akan makan sikit-sikit la bila teramat rindu. Apak suka makan masakan anak-anak. Sedihnya”
“Saya pun masih simpan cili kisar mak buat dua tahun lalu”


Untuk pengetahuan, Alif sebelum ini tular kerana menjaga ibunya, Che Fatimah Nik Omar yang terlantar sakit. Allahyarmah dilaporkan meninggal dunia pada bulan 4 Julai lalu.
