PUTRAJAYA, 13 Okt – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan Malaysia akan menyertai badan antarabangsa Covax.
Jelasnya, ia adalah badan yang mempunyai kemudahan membantu negara-negara membangun yang menyertai sebagai ahli untuk dapatkan vaksin, bukan semata-mata untuk COVID-19 tetapi untuk vaksin lain juga.
“Kerana nak sertai jadi ahli Covax ini, kita kena bayar sejumlah wang yang agak besar.
“Disebutkan ia boleh bantu untuk bekalkan vaksin hanya 10 peratus daripada jumlah penduduk. Dalam kes Malaysia ini kita ada 30 juta, sebanyak tiga juta vaksin boleh dibekalkan untuk tiga juta penduduk Malaysia,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
Mengulas lanjut, jelas Muhyiddin, sekitar RM42 juta perlu dibayar sebagai permulaan untuk menyertai badan tersebut.
“Lepas memeterai kerjasama itu dan menjadi ahli, maka kita terikat untuk beli daripada Covax lebih kurang RM600 juta.
“Ini jumlah yang cukup besar tapi tidak menghalang kita untuk memeterai kerjasama dan bekalan daripada pembekal-pembekal di luar seperti China (dan sebagainya),” tambahnya lagi.
Walaupun bersetuju untuk sertai Covax, pihak kerajaan akan cuba berunding lagi dengan badan tersebut berkenaan harga bekalan vaksin.
“Sebagai contoh, harga vaksin ini belum diketahui. Tapi kalau nak sign dengan Covax, mesti bayar $20 bagi satu vaksin. Sama ada $5, $10 $20 kita tak tahu. Jadi ini satu syarat yang bagi kita amat ketat.
“Jadi ada yang berpendapat kenapa kita menyertai. Tapi kalau tak sertai esok akan jadi masalah.
“Jadi peringkat awal ini saya putuskan kita akan bayar RM42 juta lepas itu kita akan rundingkan yang lain-lain lagi,” katanya.
Sumber: RTM