Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia, China Perkukuh Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan – Saifuddin

CHINA
Kredit: Facebook Saifuddin Nasution Ismail

Malaysia terus memperkukuh kerjasama keselamatan dengan China dan rakan antarabangsa lain bagi meningkatkan usaha membanteras jenayah rentas sempadan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerjasama antara negara amat penting dalam melindungi keselamatan Malaysia, khususnya menerusi perkongsian strategik dengan China.

Menurut beliau, kerjasama itu diperkukuh menerusi perjanjian dua hala yang dimeterai pada Jun 2024 bagi membanteras sindiket jenayah rentas sempadan.

“Apabila kita bekerjasama, penjenayah kalah. Apabila kita bertindak sendirian, mereka menang. Sebab itu saya sangat menghargai persidangan ini.

“Di sinilah jaringan antara kerajaan dibina menerusi forum ini. Di sinilah kepercayaan antara agensi dibentuk dan diwujudkan,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan pada Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global (GPSCF) 2026 di Lianyungang, China, yang dikongsikan menerusi akaun Facebook rasminya hari ini.

Forum selama tiga hari yang bermula Selasa lalu itu dijadualkan berakhir esok.

Menurutnya, perjanjian yang dimeterai pada 2024 menjadi asas kukuh kepada penyelarasan taktikal antara kedua-dua negara, termasuk perkongsian risikan, operasi bersepadu dan siasatan bersama.

Katanya, kedua-dua negara kini giat berkongsi maklumat, menyelaras operasi serta menjalankan siasatan bersama bagi menangani ancaman jenayah yang merentasi sempadan.

Mengulas keberkesanan kerjasama itu, Saifuddin Nasution berkata Malaysia telah menyiasat kira-kira 141,000 kes penipuan dalam talian antara 2024 hingga Mei 2026 menerusi mekanisme dua hala berkenaan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai rakan keselamatan yang boleh dipercayai, khususnya bersama negara-negara anggota ASEAN dan masyarakat antarabangsa secara lebih meluas.

“Di sinilah kerjasama bermula dan diperbaharui. Bagi Malaysia, kerjasama antarabangsa adalah bahagian penting daripada keselamatan negara dan perkara ini benar dalam hubungan kita dengan China,” katanya.