BALI, 20 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia bersetuju mewujudkan kerjasama antara agensi di peringkat pelaksanaan bagi menangani isu keselamatan dalam talian kanak-kanak, dengan usaha turut dirancang untuk melibatkan Singapura dalam kerjasama itu.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata isu keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan kanak-kanak, merupakan perkara penting yang memerlukan perhatian bersama negara-negara di rantau ini.
“Kita berusaha mengadakan pertemuan tiga pihak melibatkan Malaysia, Indonesia dan Singapura, insya-Allah pada Disember ini, sekiranya kelapangan (waktu) mengizinkan,” kata beliau kepada Bernama selepas pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Meutya Hafid, di sini pada Selasa.
Beliau berkata walaupun negara-negara ASEAN mempunyai undang-undang dan pendekatan pelaksanaan yang berbeza, usaha yang dimulakan Malaysia, Indonesia dan Singapura berpotensi menggalakkan penyertaan negara-negara lain di rantau ini.
“Kita bukan sekadar mempunyai dasar yang seiring, tetapi juga mungkin beberapa mekanisme yang hampir serupa, walaupun tidak semestinya sama sepenuhnya,” jelasnya.
Fahmi turut menyambut baik hasrat Meutya untuk mempererat kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia.
Pengalaman MCMC dalam mengendalikan aduan orang ramai berkaitan media sosial juga boleh dimanfaatkan pihak berkuasa Indonesia, kata beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Singapura Josephine Teo berkata beliau sempat bertukar pandangan dengan Fahmi mengenai perkembangan sektor telekomunikasi di negara masing-masing ketika mereka bertemu secara kebetulan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai pada Isnin.
Dalam hantaran di media sosial rasminya, Teo berkata ini termasuk komunikasi selamat kuantum (quantum safe communications), serta keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak dan golongan muda.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menerima kunjungan Fahmi ke Singapura dalam masa terdekat.
Pertemuan itu berlaku ketika Fahmi baru tiba di Bali, manakala Teo sedang menunggu penerbangan pulang ke Singapura selepas menghadiri Bali Tech Week 2026.
Fahmi berada di Bali atas jemputan menyampaikan ucaptama pada acara berkenaan.
Beliau diiringi Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia) MCMC Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibudden serta Setiausaha Pertama (Ekonomi) Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Fakhrul Arifin Mohammad Zulkifly.

