Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia apabila menjadi tuan rumah Persidangan World Federation of Great Towers (WFGT) 2026 yang berlangsung di Menara Berkembar PETRONAS, hari ini.
Persidangan yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Datuk Lo Su Fui itu menghimpunkan lebih 70 delegasi daripada lebih 16 negara, termasuk pengendali menara ikonik dunia, pemain industri pelancongan dan pakar dalam bidang berkaitan.
Penganjuran persidangan antarabangsa itu turut dilihat selari dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026–2027, selain membuka ruang kepada perkongsian ilmu, kerjasama strategik dan pertukaran pengalaman dalam industri tarikan pelancongan.
Ditubuhkan pada 1989, WFGT merupakan pertubuhan antarabangsa bukan berasaskan keuntungan yang menghimpunkan lebih 50 menara ikonik dari seluruh dunia, dengan jumlah kunjungan melebihi 45 juta pelawat setiap tahun.
Bertemakan “In Pursuit of Excellence”, WFGT 2026 memberi tumpuan kepada pelbagai isu termasuk inovasi, teknologi, kelestarian komersial, kecemerlangan operasi dan usaha meningkatkan pengalaman pelawat.
Menurut YB Datuk Lo Su Fui, mercu tanda seperti Menara Berkembar PETRONAS bukan sekadar tarikan pelancongan, malah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan identiti, budaya, inovasi dan aspirasi Malaysia kepada dunia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata, penganjuran WFGT 2026 turut menjadi peluang untuk memperkenalkan Kuala Lumpur dan Presint KLCC kepada komuniti pelancongan antarabangsa.
Pengarah Eksekutif WFGT, Jean-Yves Ghazi pula menyifatkan Kuala Lumpur sebagai lokasi yang sesuai untuk menghimpunkan komuniti menara ikonik dunia bagi membincangkan masa depan pelancongan dan pengalaman pelawat.
Sepanjang persidangan, para delegasi akan menyertai sesi dialog strategik, perkongsian teknikal serta lawatan ke beberapa tarikan pelancongan tempatan termasuk Menara Kuala Lumpur dan Kuantan 188, yang turut merupakan ahli WFGT.
Penganjuran WFGT 2026 dijangka terus memperkukuh hubungan Malaysia dengan komuniti pelancongan global, di samping mengetengahkan Kuala Lumpur dan Menara Berkembar PETRONAS sebagai antara destinasi ikonik di peringkat antarabangsa.
