Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Malaysia Selaras Hantar Bantuan, SMART Ke Nepal - PM Anwar

Malaysia Selaras Hantar Bantuan
Kredit: Bernama

BUTTERWORTH, 28 Ogos (Bernama) -- Malaysia sedang menyelaras penghantaran bantuan ke Nepal susulan bencana banjir besar yang melanda negara itu, termasuk kemungkinan menggerakkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang berhubung rapat dengan kerajaan Nepal bagi menentukan bentuk bantuan bersesuaian, sama ada dalam bentuk kewangan atau penghantaran pasukan penyelamat.

“Sekarang ini MKN sedang menyelaraskan sama ada kita hantar pasukan SMART ataupun jumlah (bantuan) itu kita akan putuskan,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sembilang di sini hari ini.

Anwar berkata beberapa negara termasuk India, China dan Bangladesh juga menghulurkan bantuan susulan bencana berkenaan yang disifatkannya berlaku pada skala di luar jangkaan.

Beliau berkata Kementerian Luar sedang mendapatkan senarai terkini rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas, selain meneruskan usaha mengenal pasti status dan keberadaan mereka.

Anwar turut meminta keluarga rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas supaya menghubungi Kementerian Luar menerusi saluran disediakan bagi membantu usaha mendapatkan maklumat terkini.

Semalam, Perdana Menteri mengarahkan semua jabatan berkaitan termasuk MKN dan Kementerian Luar untuk segera mengenal pasti serta menghubungi rakyat Malaysia yang terkesan dalam bencana itu.

Terdahulu, Kementerian Luar memaklumkan sebanyak 57 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir besar yang melanda semalam.

Angka terkini itu adalah berdasarkan laporan yang diterima daripada ahli keluarga, rakan-rakan dan majikan setakat 11 malam, 27 Ogos.

Intipati
  • Malaysia sedang menyelaras bantuan ke Nepal susulan banjir besar melanda negara itu.
  • MKN menimbang bantuan kewangan atau penghantaran pasukan SMART selepas berhubung dengan kerajaan Nepal.
  • Kementerian Luar masih mengenal pasti status 57 rakyat Malaysia yang gagal dihubungi.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan