Kontinjen Malaysia mengulangi pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan negara di Sukan Asia selepas membawa pulang sembilan pingat emas pada temasya Aichi-Nagoya 2026 yang melabuhkan tirainya hari ini.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pencapaian itu menyamai rekod sembilan emas yang diraih kontinjen negara pada Sukan Asia Guangzhou 2010.
“Pencapaian ini hadir hasil daripada prestasi konsisten atlet negara dalam beberapa cabang sukan, sekali gus membuktikan bahawa Malaysia mampu bersaing pada tahap tertinggi di pentas Asia,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kempen emas negara dimulakan menerusi Adeola Fay Robert dalam acara kumite wanita bawah 55 kilogram (kg), sebelum Taj Izrin Aiman Taj Madira mencipta sejarah sebagai wakil pertama negara dalam e-sukan memenangi emas Sukan Asia menerusi Gran Turismo 7.
C Shahmalarani kemudian menambah emas dalam acara kumite wanita bawah 50kg, manakala skuad sepak takraw lelaki menamatkan penantian 36 tahun Malaysia untuk kembali menjuarai acara regu berpasukan.
Skuad skuasy pula menyumbang emas kelima dan keenam menerusi Ng Eain Yow serta Sivasangari Subramaniam, yang masing-masing mempertahankan kejuaraan perseorangan lelaki dan wanita.
Aifa Azman, Sivasangari, Aira Azman dan Rachel Mae Arnold kemudian memastikan skuad wanita berpasukan turut mempertahankan kejuaraan selepas menewaskan Hong Kong dalam final untuk menghadiahkan emas ketujuh negara.
Emas kelapan menjadi milik Datuk Mohd Azizulhasni Awang menerusi acara keirin lelaki, sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun Malaysia dalam acara berkenaan di Sukan Asia.
Skuad lelaki berpasukan menutup kempen emas negara menerusi Ameeshenraj Chandaran, Ng Eain Yow, Sanjay Jeeva dan Mohamad Syafiq Kamal selepas menewaskan Pakistan dalam final.
Tujuh Perak, 16 Gangsa
Menurut Jefri, kejayaan itu turut disokong pencapaian kontinjen dalam perebutan tujuh pingat perak dan 16 gangsa, selain komitmen seluruh atlet yang membawa cabaran negara sepanjang temasya.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh Kontinjen Malaysia, khususnya barisan atlet yang telah memberikan komitmen, disiplin dan semangat juang yang tinggi sepanjang persiapan serta pertandingan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta kepimpinan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan kepada MSN dalam melaksanakan program latihan serta persiapan kontinjen.
Jelasnya, kejayaan atlet tidak boleh dipisahkan daripada sumbangan jurulatih, pegawai sukan, pentadbir, petugas sains sukan dan perubatan, pengurusan kontinjen serta keluarga yang menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan mereka.
“Setiap pingat yang dimenangi turut menjadi milik jurulatih, pasukan sokongan, keluarga dan semua pihak yang telah membantu perjalanan mereka. Atlet adalah watak utama, tetapi mereka tidak pernah berjuang bersendirian,” katanya.
Sasar Kejuaraan Sukan SEA 2027
Jefri berkata, pencapaian di Aichi-Nagoya menjadi petunjuk positif terhadap pembangunan sukan berprestasi tinggi negara, namun MSN tidak menganggapnya sebagai noktah.
“Bagi MSN, pencapaian ini bukan noktah. Ia pemangkin untuk kita terus memperkukuh program pembangunan atlet, meningkatkan kualiti persiapan dan membina barisan atlet yang mampu bersaing secara konsisten di pentas antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, tumpuan seterusnya adalah memastikan momentum itu diteruskan dengan sasaran muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2027 di tanah air sebelum persiapan diperkasakan bagi menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
“Pada masa yang sama, kita berazam membutirkan pingat emas pertama untuk negara di pentas Olimpik,” katanya.

