Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mampu Tampung Lebih 100,000 Penonton, Ini 5 Stadium Terbesar Di Asia

5 stadium terbesar di Asia
Kredit: Gambar Hiasan --Foto BERNAMA

Pernah terfikir bagaimana rasanya berada dalam sebuah stadium yang dipenuhi lebih 100,000 orang pada masa yang sama?

Bukan sahaja sukar untuk membayangkan jumlahnya, malah laungan puluhan ribu penonton dalam satu ruang pasti mampu menghasilkan suasana yang luar biasa.

Di Asia, terdapat stadium yang dibina dengan kapasiti begitu besar sehingga mampu menempatkan puluhan ribu penonton dalam satu-satu masa.

Ada yang menjadi saksi perlawanan bersejarah, manakala sebahagiannya pula menjadi pentas kepada acara besar yang menghimpunkan orang ramai dari pelbagai tempat.

Menariknya, beberapa stadium gergasi ini mempunyai sejarah panjang dan pernah memegang gelaran sebagai stadium terbesar di dunia.

Jadi, sejauh mana besarnya stadium-stadium ini?

Hari ini, SK kongsikan lima stadium terbesar di Asia berdasarkan kapasiti tempat duduk.

5 stadium terbesar di Asia

  1. Stadium Narendra Modi, Ahmedabad, India - 132,000 tempat duduk

Menduduki tempat pertama ialah Stadium Narendra Modi di Ahmedabad, India, yang mampu menampung sehingga 132,000 penonton, sekali gus menjadikannya stadium terbesar di Asia dan dunia.

Ia juga merupakan stadium kriket terbesar pernah dibina, dengan reka bentuk mangkuk tanpa tiang yang memberikan pandangan tanpa halangan kepada penonton.

Kredit: Stadium DB

Dahulunya dikenali sebagai Stadium Motera, venue itu dirobohkan dan dibina semula sepenuhnya sebelum dibuka pada 2020.

Stadium berkenaan turut menjadi lokasi perlawanan akhir Piala Dunia Kriket 2023.

  1. Stadium Rungrado 1st of May, Pyongyang, Korea Utara - sekitar 114,000 tempat duduk

Selama beberapa dekad, Stadium Rungrado 1st of May di Pyongyang menjadi pemegang rekod stadium terbesar di dunia sebelum kemunculan Stadium Narendra Modi.

Stadium yang mampu menempatkan kira-kira 114,000 penonton itu dibuka pada 1 Mei 1989, yang turut menjadi asal usul namanya.

Kredit: KCNA

Reka bentuknya menampilkan bumbung dengan 16 gerbang yang disusun menyerupai bunga magnolia.

Lebih daripada sekadar venue bola sepak, stadium itu sering digunakan sebagai pentas bagi acara berskala besar, termasuk Arirang Mass Games yang menampilkan persembahan serentak oleh puluhan ribu peserta.

  1. Stadium Lusail, Qatar - sekitar 89,000 tempat duduk

Qatar membina Stadium Lusail sebagai antara venue utama Piala Dunia FIFA 2022 dan stadium itu menjadi lokasi perlawanan akhir kejohanan berkenaan.

Dengan kapasiti hampir 89,000 penonton, stadium berbentuk mangkuk dengan kemasan berwarna emas itu direka berinspirasikan tanglung tradisional Arab.

Kredit: BBC

Ia merupakan stadium terbesar di Asia Barat dan antara stadium paling baharu dalam senarai ini.

Lebih istimewa, Stadium Lusail menjadi saksi kejayaan Argentina menjulang trofi Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Perancis dalam perlawanan akhir yang menyaksikan Lionel Messi akhirnya memenangi gelaran yang diidamkannya.

  1. Stadium Nasional Bukit Jalil, Malaysia - 87,411 tempat duduk

Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan stadium terbesar di Asia Tenggara dengan kapasiti sekitar 87,411 penonton.

Stadium yang dibuka pada 1998 itu dibina bersempena Sukan Komanwel 1998 dan sejak itu menjadi antara gelanggang utama bola sepak Malaysia.

Kredit: Bernama

Pengubahsuaian pada 2017 turut memodenkan kemudahan stadium tanpa mengubah kedudukannya sebagai antara venue sukan terbesar di rantau ini.

Apabila skuad kebangsaan beraksi, kapasiti besar stadium itu sering bertukar menjadi lautan penyokong dengan sorakan yang bergema di seluruh venue.

  1. Stadium Azadi, Tehran, Iran - 78,116 tempat duduk

Stadium Azadi di Tehran pula menjadi antara venue bola sepak paling ikonik di Iran dan merupakan gelanggang yang dikongsi dua kelab gergasi negara itu, Persepolis dan Esteghlal.

Dibuka pada 1971, stadium itu pada asalnya mampu menempatkan sehingga 100,000 penonton, namun beberapa siri pengubahsuaian mengurangkan kapasiti rasminya kepada sekitar 78,116.

Kredit: Tehran Times

Bagaimanapun, rekod kehadiran stadium itu dilaporkan jauh lebih tinggi, iaitu sekitar 128,000 penonton, pada zaman ketika jumlah penonton tidak dikira berdasarkan kapasiti tempat duduk seperti sekarang.

Daripada Ahmedabad hingga Tehran, stadium-stadium gergasi ini bukan sekadar tempat berlangsungnya pertandingan sukan, malah menjadi simbol budaya, sejarah dan semangat penyokong di seluruh Asia.

Sumber:WorldAtlas
Intipati
  • Stadium Narendra Modi di Ahmedabad ialah stadium terbesar Asia dan dunia, berkapasiti 132,000 penonton.
  • Rungrado 1st of May pernah memegang rekod stadium terbesar dunia sebelum Stadium Narendra Modi.
  • Stadium Nasional Bukit Jalil tersenarai terbesar di Asia Tenggara dengan 87,411 tempat duduk.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan