Belum pun melangkah ke alam perkahwinan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini dilihat serius mendalami tanggungjawab sebagai bakal suami.
Menerusi satu video yang kembali tular di media sosial, Syed Saddiq, 33, dilihat rancak mengajukan pelbagai persoalan mengenai nafkah ketika menghadiri kursus praperkahwinan bersama tunangnya, Bella Astillah.

Antara yang menarik perhatian apabila beliau bertanyakan kepada penceramah mengenai kaedah pemberian nafkah kepada isteri.
“Mana lebih baik, bagi bulanan atau lelaki bayar saja bila keluar?” katanya menerusi potongan video yang dikongsikan di Threads.
Soalan tersebut kemudian dijawab penceramah yang menjelaskan bahawa pemberian nafkah zahir perlu mengambil kira kemampuan suami sebagai ketua keluarga.
“Dalam bab nafkah zahir ini tolong ikut kemampuan suami. Isteri nak bantu boleh tetapi bantulah dengan betul,” katanya.
Tidak berhenti di situ, Syed Saddiq turut mendapatkan penjelasan mengenai cara menentukan nafkah berdasarkan kemampuan, khususnya bagi lelaki yang mempunyai pendapatan lebih rendah.
“Bagaimana nak definisikan (nafkah) kalau ikut kemampuan masing-masing?
“Bagi seseorang yang mungkin tiada gaji lebih tinggi, mungkin telah pun laksanakan pembahagian empat perkara,” soalnya.
Dalam sesi berkenaan, penceramah turut mengingatkan wanita supaya tidak memandang rendah terhadap suami hanya kerana mempunyai pendapatan lebih tinggi.
“Orang perempuan tak boleh nak cakap dia beli tetapi tak minta duit. Jangan cakap begitu.
“Walaupun suami kita bergaji rendah daripada kita, dia tetap suami,” katanya.

