Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Manndzri Nasib Jelaskan Rujukan Ayat Al-Quran Ketika Bahas RCI Tabung Haji

AYAT
Kredit: Facebook Manndzri Nasib

Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib menjelaskan penggunaan beberapa ayat al-Quran ketika membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) tidak bertujuan menuduh mana-mana individu sebagai munafik.

Beliau berkata, penjelasan itu dibuat susulan teguran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika sesi penggulungan RCI Tabung Haji di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut Manndzri, beliau hanya mengetahui mengenai teguran tersebut selepas meninggalkan Parlimen lebih awal selepas solat Asar bagi membuat persiapan untuk menunaikan ibadah umrah.

“Saya ingin menjelaskan bahawa ketika saya membaca ayat berkenaan pada hujung perbahasan sebelum membuat kesimpulan dan mengemukakan dua cadangan, iaitu RCI Tabung Haji 2.0 bagi tempoh 2022 hingga 2026 serta RCI terhadap UJSB, ayat itu tidak ditujukan kepada RCI ini secara khusus.

“Sebaliknya, ia adalah secara umum kepada sesiapa sahaja yang menipu dan mendustakan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, malam tadi.

Manndzri berkata, beliau memahami kaedah tafsir ‘العِبْرَةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ’ yang bermaksud pengajaran atau pegangan sesuatu nas adalah berdasarkan keumuman lafaz dan bukan kekhususan sebab ia diturunkan atau diucapkan.

Jelasnya, sesuatu ayat al-Quran atau hadis mungkin berkaitan dengan peristiwa, individu atau keadaan tertentu, namun sekiranya lafaz nas berkenaan bersifat umum, pengajarannya tidak semestinya terhad kepada peristiwa atau individu tersebut.

“Ringkasnya, sebab mungkin khusus, tetapi lafaz dan pengajarannya boleh bersifat umum.

“Kaedah ini penting supaya nas al-Quran dan Sunnah tidak dikurung dalam konteks sejarah semata-mata, sebaliknya terus menjadi panduan merentas zaman dan keadaan selagi keumuman lafaz tersebut tidak dikhususkan oleh dalil lain,” katanya.

Beliau berkata, antara nas yang dirujuk ketika perbahasan berkenaan ialah ayat daripada Surah Az-Zariyat ayat 10 serta Surah Al-Baqarah ayat 9 dan 42.

Dalam pada itu, Manndzri menegaskan beliau sama sekali tidak berniat menuduh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebagai munafik.

“Jadi tidak timbul, apatah lagi hendak menuduh sahabat saya, Menteri JPM (Agama) yang arif bijaksana sebagai munafik. Langsung tidak terlintas niat.

“Yang saya niatkan hanyalah supaya setiap soalan Tenggara dijawab, terutama berkaitan tuduhan yang menyatakan Lembaga TH tidak memberi respons langsung terhadap teguran Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa persoalan lain yang saya bangkitkan,” katanya.

Sementara itu, Manndzri menjelaskan beliau meninggalkan Parlimen lebih awal kerana sesi pembentangan Laporan RCI Tabung Haji berkenaan berbentuk taklimat menteri dan tidak melibatkan proses pengundian seperti yang berlaku dalam isu RCI Batu Puteh.

Beliau pada masa sama memohon ruang untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah umrah.