Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MAPS 2026 Iktiraf Usahawan Cemerlang, Perkukuh Ekosistem Keusahawanan Digital Selangor

maps 2026

MAPS 2026 Iktiraf Usahawan Cemerlang, Perkukuh Ekosistem Keusahawanan Digital Selangor

PETALING JAYA, 12 OGOS 2026 - Platform Selangor (PLATS) kini telah menghimpunkan lebih daripada 100,000 usahawan berdaftar, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan yang inklusif dan mampan. Pencapaian tersebut diraikan menerusi Malam Anugerah Platform Selangor 2026 (MAPS 2026) yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, malam ini.

Majlis yang menghimpunkan kira-kira 1,000 tetamu daripada kalangan pemimpin kerajaan, agensi negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), rakan strategik industri dan komuniti usahawan itu dianjurkan oleh Yayasan MBI sebagai penghargaan kepada usahawan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam membangunkan dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Penganjuran MAPS 2026 merupakan hasil kerjasama strategik antara Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan negeri.

Majlis telah disempurnakan oleh Datuk Seri Amirudin Shari, Datuk Menteri Besar Selangor, yang turut menyampaikan anugerah kepada para penerima sebagai simbol penghargaan Kerajaan Negeri terhadap sumbangan usahawan PLATS dalam merancakkan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

maps 2026
Datuk Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari bersama barisan peneraju Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2026. MAPS dianjurkan oleh Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dalam ucapannya, Datuk Menteri Besar Selangor berkata usaha memperkasa usahawan akan terus menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan mereka mampu berkembang seiring dengan perubahan landskap ekonomi digital.

"Usahawan mikro merupakan antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor. Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui pendekatan yang menyeluruh, merangkumi pendigitalan, akses kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti dan jaringan strategik supaya lebih ramai usahawan tempatan mampu berkembang secara mampan serta berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa”, katanya.

maps 2026
Norminah Syafrial pengasas Minah Satay dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama Usahawan Mikro Negeri Selangor, membawa pulang trofi serta hadiah keseluruhan bernilai RM20,000, iaitu RM5,000 wang tunai dan RM15,000 Dana Usahawan Madani Selangor.

Sehingga Julai 2026, PLATS terus memainkan peranan dalam memperkasa usahawan menerusi pelbagai inisiatif yang merangkumi pendigitalan, pembiayaan, akses pasaran dan pembangunan kapasiti. Seramai 571 usahawan telah menyertai Program U-PLATS Digital 2026, manakala 200 usahawan mengikuti U-PLATS Digital (Bootcamp) bagi meningkatkan keupayaan digital perniagaan. Selain itu, 34 usahawan menyertai Program U-PLATS Halal bagi mendapatkan bimbingan ke arah pensijilan halal, manakala 228 usahawan menerima manfaat melalui PLATS Biaya. Dalam memperluas akses pasaran kepada usahawan tempatan, seramai 2,852 usahawan turut menerima peluang berniaga melalui pelbagai program dan acara anjuran Kerajaan Negeri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Ts. Saipolyazan M Yusop, MAPS bukan sekadar mengiktiraf pencapaian para usahawan, malah menjadi simbol penghargaan kepada mereka yang telah menunjukkan ketabahan, daya tahan dan semangat inovasi dalam membangunkan ekonomi rakyat.

“Sebagai agensi pelaburan strategik Kerajaan Negeri Selangor, MBI Selangor melalui Yayasan MBI komited untuk terus memperluas impak pembangunan sosioekonomi menerusi pelbagai program dan inisiatif keusahawanan yang inklusif. Dengan sokongan rakan-rakan strategik, kami akan terus memperkasa usahawan tempatan agar lebih berdaya tahan, berinovasi dan mampu bersaing dalam landskap ekonomi yang semakin dinamik.

Saya berharap pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan untuk melangkah lebih jauh dalam mengembangkan perniagaan, mencipta peluang pekerjaan dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi Negeri Selangor,” katanya.

maps 2026
Para usahawan mengambil peluang bergambar bersama Datuk Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan barisan tetamu kehormat pada majlis berkenaan.

Sebanyak 23 pengiktirafan disampaikan pada MAPS 2026 merangkumi sembilan kategori anugerah yang meraikan kecemerlangan usahawan dalam pelbagai bidang termasuk inovasi, pendigitalan, pembangunan komuniti, kepimpinan wanita dan belia serta penggunaan teknologi dalam perniagaan.

Intipati
  • PLATS menghimpunkan lebih 100,000 usahawan berdaftar, diraikan menerusi MAPS 2026 di Petaling Jaya.
  • Majlis anjuran Yayasan MBI mengiktiraf 23 penerima merangkumi sembilan kategori keusahawanan.
  • Norminah Syafrial daripada Minah Satay menerima Anugerah Utama Usahawan Mikro Negeri Selangor.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan