Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelajar yang terlibat dalam insiden buli di institusi pendidikan di bawah agensi itu, termasuk penyingkiran jika didapati bersalah.
Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendirian itu susulan dakwaan kejadian buli membabitkan enam pelajar Tingkatan Lima di sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor yang tular di media sosial.
Menurut beliau, beliau berasa dukacita, kesal dan kecewa selepas dimaklumkan mengenai kejadian tersebut yang hanya diketahui selepas ibu bapa mangsa berkongsi penderitaan anak mereka di media sosial.
“Berdasarkan maklumat yang saya terima, kejadian ini disyaki membabitkan enam pelajar Tingkatan Lima.
“Ibu bapa mangsa juga telah membuat laporan kepada pihak berkuasa dan saya dimaklumkan kesemua pelajar terbabit telah direman selama dua hari bagi membantu siasatan,” katanya menerusi hantaran video di Facebook.
Katanya, sejurus menerima laporan, beliau telah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA (BPM) bersama pentadbiran MRSM terbabit supaya mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) dalam tempoh 24 jam.
Menurutnya, mesyuarat itu bertujuan menjalankan siasatan terperinci serta menentukan tindakan paling tegas terhadap pelajar yang terlibat.
“Jika terbukti bersalah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM.
“Apa juga alasan yang diberikan, perbuatan membuli atau mengambil tindakan sendiri atas alasan mahu mendisiplinkan pelajar junior adalah tidak boleh diterima sama sekali,” tegasnya.
Beliau turut mengulangi pendirian MARA yang selama ini berpegang kepada prinsip ‘You touch, you go’ dalam menangani isu buli.
“Sesiapa yang terbukti melakukan buli, tiada tempat lagi untuk mereka di MRSM.
“Kepada semua pelajar MRSM, jangan takut untuk melaporkan sebarang kejadian buli kepada guru, warden atau pihak pentadbiran supaya tindakan segera boleh diambil,” ujarnya.
Dalam pada itu, Asyraf turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan atau melindungi perlakuan buli.
Katanya, MARA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya kerana tiada kompromi terhadap budaya buli di institusi pendidikan agensi itu.