"Masa makin suntuk untuk Iran" - Trump
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran kepada Iran bahawa masa semakin suntuk untuk negara itu mengelakkan campur tangan ketenteraan AS, ketika Tehran menolak untuk mengadakan sebarang rundingan dalam suasana penuh ancaman, lapor AFP.
Trump menyatakan tidak pernah menolak kemungkinan serangan baharu ke atas Iran susulan tindakan keras kerajaan itu terhadap protes bulan ini.
Dalam hantaran terbaharunya di Truth Social, Trump tidak menyebut mengenai protes itu tetapi berkata Iran perlu berunding mengenai program nuklearnya, yang dipercayai Barat bertujuan menghasilkan bom atom.
"Diharapkan Iran akan segera ‘datang ke meja rundingan’ dan memeterai perjanjian yang adil dan saksama. TIADA SENJATA NUKLEAR yang menguntungkan semua pihak. Masa semakin suntuk, ia sangat-sangat penting!.
"Serangan seterusnya akan jauh lebih dahsyat! Jangan biarkan perkara itu berlaku lagi, " katanya yang merujuk kepada serangan AS terhadap sasaran nuklear Iran semasa perang Jun lalu.
Sebuah armada diketuai kapal induk USS Abraham Lincoln, kini berada di perairan Timur Tengah.
Sebuah kumpulan hak asasi manusia melaporkan pihaknya telah mengesahkan lebih 6,200 kematian, kebanyakannya penunjuk perasaan yang dibunuh oleh pasukan keselamatan, dalam gelombang demonstrasi yang menggoncang kepimpinan ulama sejak akhir Disember lalu dan memuncak pada 8 hingga 9 Januari.
Aktivis mendakwa angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi, dengan sekatan internet yang berterusan menyukarkan pengesahan maklumat mengenai skala pembunuhan tersebut.
Penganalisis berkata, pilihan AS termasuk melancarkan serangan ke atas kemudahan ketenteraan atau serangan terarah terhadap kepimpinan tertinggi di bawah Ayatollah Ali Khamenei, dalam usaha berskala penuh untuk menjatuhkan sistem pemerintahan Iran yang berkuasa sejak Revolusi Islam 1979 yang menggulingkan Shah.
Kerosakan Teruk
Bagaimanapun, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata sebelum kenyataan Trump disiarkan bahawa menjalankan diplomasi melalui ancaman ketenteraan tidak akan berkesan atau berguna.
"Jika mereka mahu rundingan berlangsung, mereka mesti mengetepikan ancaman, tuntutan melampau dan isu-isu tidak munasabah,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.
Araghchi berkata beliau tidak mempunyai sebarang hubungan dengan utusan AS bagi Asia Barat, Steve Witkoff, dalam beberapa hari kebelakangan ini dan menegaskan bahawa “Iran tidak mencari rundingan”.
Sementara itu, Ketua Staf Angkatan Tentera Iran, Habibollah Sayyari pula memberi amaran kepada AS supaya tidak melakukan sebarang salah perkiraan, sambil menegaskan bahawa mereka juga akan menanggung kerosakan.
Sementara itu, papan iklan baharu dilaporkan muncul di sekitar Tehran, termasuk satu yang memaparkan Iran menyerang kapal induk AS, menurut wartawan AFP.