Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

”Masa Telah Berubah Tetapi…” Dr Noor Hisham ‘Throwback’ Luah Rasa Bimbang Sejak 2 Tahun Lalu

Nur Adnin
Gambar: BERNAMA

Kebimbangan yang pernah terzahir dalam fikiran kira-kira dua tahun yang lalu akhirnya menjelma sekali lagi, sekaligus menjadikannya sebagai satu permasalahan yang sangat besar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah tidak menyangka bahawa ‘keluhannya’ tentang sistem kesihatan negara pada 2019 lalu kembali menjadi isu utama dalam sidang Parlimen semalam.

“Saya tidak pernah terfikir bahawa kenyataan pada 17 Julai 2019 lalu akan disebut semula di Parlimen pada 27 Julai 2021 (semalam).

“Masa telah berubah tetapi fakta tetap ada untuk kita memperbaiki sistem penjagaan kesihatan dan kesejahteraan semua kakitangan kita,” katanya menerusi ciapan ringkas di Twitter kira-kira 2.13 pagi tadi.

Mengimbas kembali, Noor Hisham pernah meluahkan rasa bimbangnya terhadap situasi sistem kesihatan negara yang dilihat mulai ‘tenat’ pada 17 Julai 2019 yang lalu. Ternyata, isu ini bukanlah isu yang baharu.

Dalam kenyataan itu Noor Hisham menjelaskan, Kementerian Kesihatan (KKM) sejak 2019 lagi telah mengalami kelompongan dalam beberapa sudut, terutamanya mengenai keupayaan sistem penjagaan kesihatan awam.

“Kita sekarang kekurangan dana, kekurangan tenaga kerja, bergaji rendah, kerja yang terlalu banyak, terlalu letih dan fasiliti yang sangat sesak dengan pesakit.

“Kita semua perlu berusaha lebih keras untuk memperbaiki sistem penjagaan kesihatan awam untuk mempertingkatkan dana, jumlah petugas kesihatan, untuk memperbaiki skala gaji serta ketersediaan jawatan dalam fasiliti kesihatan kita; (di mana) semuanya adalah di luar kawalan KKM.

“Saya percaya apabila ada kemahuan, pasti akan ada jalannya,” luahnya dua tahun yang lalu.

Ciapan Noor Hisham yang dibuat pada seawal 2.13 pagi itu mencetus tanda-tanya netizen, hingga ada yang menyoalkan kenapa beliau boleh menulis kenyataan bernada kebimbangan tersebut ketika orang awam sedang lena diulit mimpi.

Tidak kurang juga, ada netizen yang turut bimbang dengan Noor Hisham gara-gara masih bersengkang mata memikirkan tentang masalah sistem kesihatan negara hingga ‘menyarankannya’ untuk berehat.

Selain itu, ada netizen yang turut memahami tentang perubahan yang perlu dilakukan dalam kementerian tersebut, barangkali bermaksud agar mampu menyelesaikan segala kemelut yang belum berkesudahan.

Malah ada netizen yang tegar memberi sokongan dan semangat buatnya. Semoga Noor Hisham dan KKM dapat bertahan hingga negara berjaya keluar daripada pandemik dan masalah-masalah ini.

Sumber: Twitter & Facebook Dr. Noor Hisham