Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Mat Saleh Bongkar Apa Yang Orang Luar ‘Salah Faham’ Pasal Malaysia
Malaysia sememangnya terkenal sebagai destinasi pilihan pelancong dari seluruh dunia. Ada yang datang untuk bercuti, ada juga yang akhirnya memilih untuk menetap, belajar, bekerja, bahkan bersara di sini.
Dari banyak tempat menarik yang memukau, makanan menggoda selera, hingga rakyatnya yang peramah dan penuh ragam. Semuanya membuatkan sesiapa yang datang ke sini pasti jatuh cinta.
Namun, tak dinafikan ada juga orang luar yang menyimpan tanggapan atau stereotaip lama tentang Malaysia, walhal mereka sendiri belum pernah pun menjejak kaki ke sini.
Bercakap tentang hal ini, seorang lelaki warga asing mencuri perhatian ramai selepas berkongsi kisahnya menerusi saluran YouTube AgaEatsKL.
Lelaki berkenaan, seorang bekas tentera dan diplomat, mendedahkan salah faham besar yang pernah dipegang oleh segelintir warga Barat terhadap Malaysia.
Beliau yang kini sudah 17 tahun menetap di Malaysia, menjelaskan bagaimana imej negara kita sering disalah tafsir oleh sesetengah masyarakat luar sejak dulu lagi.
Ujarnya, ia mungkin disebabkan oleh cara ia (Malaysia) digambarkan.
“Apabila kami masih kecil, masa tu, kami biasa tengok rancangan yang ada David Attenborough. Suaranya yang bercerita tentang Malaysia.
“Dalam rancangan itu, beliau menceritakan tentang kawasan di Malaysia Timur, mengenai suku kaum yang memburu kepala dan menggunakan sumpit beracun.
“Suku kaum itu akan mengambil racun daripada belakang katak dan menyapu pada hujung anak sumpit mereka untuk dijadikan senjata. Masa kami kecil dulu, itulah imej Malaysia yang kami kenal.
“Saya sangat suka cara beliau menggambarkan perkampungan dan kehidupan suku kaum pribumi di Malaysia. Sampai sekarang pun, masih ada masyarakat orang asal yang tinggal di hutan-hutan di Malaysia Timur.
“Jadi, itulah gambaran kami tentang Malaysia, sebelum adanya Menara Berkembar atau filem Entrapment. Itulah Malaysia yang kami kenal dulu,” katanya.
Tambahnya, ketika pelanggan pertamanya datang ke Malaysia, mereka turut terpegun, sama seperti dirinya sewaktu pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini pada 2009.
Ringkasnya, beliau menegaskan bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang indah, penuh dengan keunikan dan pesonanya tersendiri. Ia sesuatu yang hanya dapat dirasai apabila seseorang benar-benar datang ke sini.
Tidak berhenti di situ, beliau turut berkongsi beberapa pemerhatian menarik tentang Malaysia yang menurutnya ramai tidak sedar.
“Saya jumpa pelbagai jenis manusia di Malaysia. Sesuatu yang saya sedari ialah saya rasa ramai rakyat Malaysia sendiri tidak menyedari betapa hebatnya negara mereka,” katanya.
Beliau turut menyentuh tentang kelebihan rakyat Malaysia yang fasih dalam pelbagai bahasa.
“Sebagai orang Amerika, saya hanya tahu satu bahasa. Tetapi rakyat Malaysia, mereka boleh bertutur dalam banyak bahasa.
“Cuma, mereka kadang-kadang malu untuk bercakap dalam bahasa Inggeris kerana bimbang tidak fasih. Padahal, saya pula rasa saya yang patut malu sebab tidak pandai berbahasa Melayu,” ujarnya sambil tersenyum.
Selain itu, katanya lagi, Kuala Lumpur mempunyai kelebihan besar sebagai pusat pelancongan dan penerbangan antarabangsa.
“Dari Kuala Lumpur, rakyat Malaysia boleh pergi ke mana sahaja di dunia. Ini menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar multinasional dan berbilang budaya, di mana semua orang berpeluang berinteraksi dengan individu dari serata dunia,” tambahnya.
BACA: Wanita Ini Kongsi Sebab Pilih Malaysia, Dedah ‘Perangai’ Mengejutkan Orang Kita
Sumber: AgaEatsKL/YouTube