Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) akan menganjurkan MATTA Muslim Friendly Travel Fair (MFTF) 2026 pada 4 dan 5 Julai ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Penganjuran edisi kedua MFTF itu bertujuan menyediakan platform kepada ahli-ahlinya untuk mempromosikan produk dan tawaran pelancongan yang berteraskan prinsip Islam.
Ia termasuk destinasi yang menawarkan akses mudah kepada makanan halal serta kemudahan solat kepada pelancong.
MATTA memaklumkan pesta pelancongan tersebut akan menampilkan 123 pempamer daripada 57 organisasi yang mengambil bahagian, melibatkan ruang pameran seluas 2,700 meter persegi.
Timbalan Pengerusi Penganjur MFTF 2026, Dr Fazil Khan berkata, permintaan terhadap produk pelancongan mesra Muslim terus meningkat sama ada bagi pasaran pelancongan masuk mahupun keluar negara.
Namun, menurut beliau, ketidakselarasan dalam proses pengesahan dan piawaian operasi masih menjadi antara kebimbangan utama dalam industri.
“Tanpa penanda aras yang konsisten, pengguna terpaksa menilai sendiri pelbagai tawaran dan sebahagiannya mungkin tidak memenuhi standard yang diharapkan.
“Keadaan ini mewujudkan ketidakpastian kepada pelanggan, selain mewujudkan persaingan tidak seimbang kepada pengusaha sah yang mematuhi peraturan dan melabur dalam penyampaian perkhidmatan berkualiti,” katanya.
Tambah beliau, kepercayaan dalam segmen pelancongan mesra Muslim banyak bergantung kepada aspek peraturan, pendidikan serta tanggungjawab pemain industri.
“Kami telah membangunkan platform yang kukuh bagi membantu pengguna memahami nilai memilih pengusaha berlesen dan disahkan, di samping meningkatkan standard industri secara bersama,” ujarnya.
Fazil berkata, penganjuran MFTF juga dilihat mampu melengkapkan usaha tersebut dengan menggalakkan penyelarasan yang lebih baik dalam industri secara keseluruhan.
Menurutnya, langkah itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju yang diiktiraf dalam pembangunan pelancongan mesra Muslim.
“Konsep mesra Muslim bukan sekadar perjalanan berasaskan halal, malah ia merupakan satu gaya hidup sederhana yang boleh dinikmati oleh semua golongan tanpa mengira umur, bangsa dan agama,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penaja dan rakan strategik termasuk Pusat Pelancongan Islam (Islamic Tourism Centre) sebagai rakan strategik, Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau (MGTO) sebagai penaja dan RHB Bank Berhad sebagai Penaja Platinum Eksklusif.
MFTF 2026 akan dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 9 malam sepanjang dua hari penganjuran.
Pengunjung turut digalakkan menggunakan pengangkutan awam sebagai langkah mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong amalan pelancongan mampan, selain kemudahan parkir yang turut disediakan di lokasi penganjuran.