Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Trinidad Dan Tobago -- Sekurang-kurangnya 50 mayat bayi dan enam individu dewasa ditemui pada Sabtu selepas dipercayai dibuang di sebuah tanah perkuburan di sini, menurut laporan AFP.
Polis memaklumkan siasatan awal mendapati kes tersebut mungkin melibatkan pelupusan mayat yang tidak dituntut secara tidak sah.
Menurut kenyataan Perkhidmatan Polis Trinidad dan Tobago (TTPS), kesemua mayat berkenaan ditemui di Tanah Perkuburan Cumuto, kira-kira 40 kilometer dari ibu negara, Port of Spain, di pulau Trinidad.
Polis berkata enam mayat individu dewasa yang ditemui terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita. Kesemua mayat kecuali satu mayat lelaki didapati mempunyai tag pengenalan.
Dua daripada mayat tersebut, masing-masing seorang lelaki dan seorang wanita, menunjukkan tanda telah menjalani proses bedah siasat.
“TTPS menegaskan bahawa siasatan ini masih aktif dan sedang berkembang. Analisis forensik lanjut sedang dijalankan bagi menentukan asal usul mayat serta sebarang pelanggaran undang-undang atau prosedur,” menurut kenyataan itu.
Pesuruhjaya Polis, Allister Guevarro, menyifatkan penemuan itu sebagai sesuatu yang amat membimbangkan.
Beliau berkata, agensinya mengendalikan kes tersebut dengan segera, penuh kepekaan dan komitmen berterusan bagi merungkai kebenaran.
Trinidad dan Tobago merupakan sebuah negara kepulauan berbahasa Inggeris yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pantai Venezuela.
Negara itu berdepan peningkatan jenayah keganasan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebanyak 623 kes pembunuhan direkodkan pada 2024 dalam kalangan populasi kira-kira 1.5 juta penduduk.
Menurut laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat, kadar pembunuhan sebanyak 37 kes bagi setiap 100,000 penduduk menjadikan Trinidad dan Tobago negara keenam paling berbahaya di dunia pada 2023.
Kadar pembunuhan menurun sebanyak 42 peratus pada tahun berikutnya. Namun, Perdana Menteri, Kamla Persad-Bissessar mengisytiharkan darurat pada Mac berikutan peningkatan semula jenayah keganasan.