Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Polis sedang menyiasat penemuan mayat seorang wanita yang ditemukan di dalam sebuah bagasi di ruang tamu sebuah rumah di Taman Impian, Kajang, Selangor malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 8.37 malam sebelum sepasukan anggota bersama unit forensik digerakkan ke lokasi.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di tempat kejadian menemui satu mayat wanita yang disorokkan di dalam bagasi.
“Susulan laporan diterima, polis bersama Pasukan Forensik telah hadir ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu mayat wanita di dalam bagasi yang diletakkan di ruang tamu rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, setakat ini identiti mangsa masih belum dapat dipastikan kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersama mayat.
Beliau berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Nur Ayuni Aziz di talian 016-2080717 atau menghubungi talian kecemasan NG MERS 999.