Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Polis Diraja Malaysia Johor menerima tujuh laporan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 sejak hari penamaan calon Sabtu lalu sehingga jam 11.59 malam tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, daripada jumlah itu, tiga kertas siasatan telah dibuka membabitkan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang sedia ada.
Menurut beliau, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat menggunakan api atau bahan letupan.
Katanya, satu lagi kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat.
“Selain itu, satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan perbuatan atau cubaan melakukan tindakan yang mempunyai kecenderungan menghasut serta penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ab Rahaman berkata polis menerima sebanyak 420 permohonan permit bagi aktiviti kempen sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 414 permit telah diluluskan bagi membolehkan pelbagai aktiviti kempen dijalankan mengikut syarat serta peruntukan undang-undang.
Beliau berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 191 aktiviti politik telah berlangsung dan dipantau oleh anggota polis bagi memastikan setiap program berjalan dengan aman, teratur dan mematuhi syarat permit.
“Secara keseluruhannya, situasi keselamatan sepanjang proses PRN Johor Ke-16 berada dalam keadaan aman dan terkawal.
“Setakat ini, tiada sebarang insiden yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dilaporkan,” ujarnya.
Tambah beliau, PDRM Johor akan terus mempertingkatkan kawalan keselamatan serta pemantauan di semua kawasan pilihan raya bagi memastikan keseluruhan proses pilihan raya berjalan lancar dan selamat.
Dalam pada itu, katanya, pihak polis turut mempergiat pemantauan di platform media sosial dengan kerjasama agensi berkaitan bagi mengesan penyebaran berita palsu, maklumat tidak sahih serta kandungan berunsur hasutan atau provokasi.