Polis Afrika Selatan pada Khamis menemukan mayat wanita kesembilan di timur Johannesburg, menjadikan jumlah wanita yang ditemukan mati dalam tempoh dua bulan meningkat kepada sembilan, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang awam, lapor AFP.
Mayat wanita kesembilan ditemukan
Afrika Selatan mempunyai antara kadar pembunuhan tertinggi di dunia, namun penemuan mayat wanita dalam keadaan separuh berbogel dan mengalami kecederaan menimbulkan kebimbangan kemungkinan wujud pembunuh bersiri atau sekumpulan pembunuh yang beroperasi di kawasan berkenaan.
Polis mengenakan sekatan pergerakan di Kempton Park dalam perbandaran Ekurhuleni dan mengadakan sekatan jalan raya selepas tiga mayat ditemukan minggu ini.
Kawasan penemuan mangsa terbaharu turut dikepung polis, manakala orang awam berkumpul di tepi jalan untuk menyaksikan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.
Pegawai forensik yang memakai sut perlindungan putih dilihat menjalankan pemeriksaan di lokasi, sementara mayat wanita itu ditutup dengan kain di tepi jalan.
“Kita tidak boleh terus menemukan mayat,” kata Timbalan Ketua Polis, Tebello Mosikili, kepada pemberita di lokasi kejadian.
Siri pembunuhan itu menyebabkan penduduk setempat berasa takut dan tidak selamat.
“Ini sangat menakutkan kerana kita sebagai wanita dan kanak-kanak kini tidak lagi selamat,” kata seorang penduduk, Patience Masa.
Seorang lagi penduduk, Zanele Vilakazi, berkata beliau berasa tidak selamat selepas kejadian itu berlaku pada waktu pagi.
“Saya memberitahu seseorang melalui telefon bahawa saya berasa tidak selamat. Jika perkara ini boleh berlaku pada waktu pagi, bermakna kita memang tidak selamat,” katanya.
Kemungkinan kes peniruan
Polis menawarkan ganjaran 400,000 rand (RM25,000) bagi maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan individu atau kumpulan yang bertanggungjawab, manakala Democratic Alliance, parti politik kedua terbesar di Afrika Selatan, turut menawarkan ganjaran AS$31,000.
Mosikili berkata pihak berkuasa akan menyiasat sama ada penemuan mayat pada Khamis mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan terdahulu atau merupakan kes pembunuhan dilakukan oleh individu lain sebagai tindakan peniruan.
Keganasan berasaskan gender merupakan masalah serius di Afrika Selatan, dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan satu daripada tiga wanita mengalami keganasan fizikal atau seksual sepanjang hayat mereka, meskipun kerajaan negara itu sudah bertahun-tahun berjanji untuk menanganinya.
Antara mangsa ialah Elizabeth Moselakgomo, 38, yang meninggalkan anak perempuannya berusia lapan tahun di rumah untuk keluar berjoging tetapi tidak pernah pulang.
Mayatnya ditemukan pada 12 Sept di belakang sebuah hotel.
Kehilangan Moselakgomo mendapat perhatian awam selepas sekumpulan pelari melancarkan kempen di media sosial untuk mengesan mangsa, sekali gus mencetuskan semula perhatian terhadap kes-kes terdahulu sebelum lebih banyak mayat ditemukan.
Mangsa pertama, seorang wanita berusia 37 tahun, ditemukan dalam keadaan berbogel dan diikat menggunakan pengikat kabel pada 15 Julai.
Polis berkata seorang suspek ditahan dua hari kemudian dan telah dihadapkan ke mahkamah pada Rabu.
Mosikili berkata suspek berkenaan merupakan warga asing, namun tidak mendedahkan negara asalnya.
Mangsa kedua, wanita berusia 32 tahun, ditemukan dalam keadaan separuh berpakaian pada 24 Ogos, manakala mangsa ketiga ditemukan berbogel dan dalam keadaan reput pada 10 Sept.
Dianggap sebagai perang terhadap masyarakat
Premier wilayah, Panyaza Lesufi, pada Khamis berkata pihak berkuasa tidak akan berundur dalam usaha menangani siri pembunuhan berkenaan.
“Seseorang telah mengisytiharkan perang terhadap kita dan kita akan melawan. Kita tidak akan menyerah,” katanya.
Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa, pada Selasa berikrar bahawa segala usaha akan dilakukan bagi menyelesaikan kes pembunuhan itu.
Beliau mengakui kejadian berkenaan menimbulkan ketakutan dan ketidakpastian dalam kalangan masyarakat, khususnya wanita.
Siri pembunuhan itu turut dikecam pertubuhan masyarakat sivil dan badan sukan, dengan gesaan supaya tindakan lebih tegas diambil bagi menangani keganasan berasaskan gender yang telah diisytiharkan sebagai darurat nasional di Afrika Selatan.
Afrika Selatan yang mempunyai kira-kira 62 juta penduduk mencatat antara

