Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MB Pahang Gesa Zoo Taiping Bawa Pulang DAK Kembali Ke Malaysia

MB Pahang Gesa Zoo Taiping
Kredit: Wan Rosdy Wan Ismail

MB Pahang Gesa Zoo Taiping Bawa Pulang DAK Kembali Ke Malaysia

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menggesa Zoo Taiping & Night Safari segera mengambil tindakan membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat ke Malaysia.

Menerusi satu kenyataan, Wan Rosdy berkata beliau mengambil maklum dan mengikuti perkembangan melibatkan tiga ekor gajah Malaysia itu yang kini ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun.

"Berdasarkan gesaan YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta pelbagai pihak termasuk NGO dan rakyat Malaysia tentang keadaan mamalia itu di sana, saya berpandangan perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana gajah-gajah itu merupakan sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara.

"Sehubungan itu, saya juga turut menggesa pihak Zoo Taiping & Night Safari untuk segera mengambil tindakan membawa pulang Dara, Amoi dan Kelat ke Malaysia dan seterusnya ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh yang lebih sesuai dengan habitat dan keperluan semula jadi mereka," katanya.

Kredit: Wan Rosdy Wan Ismail

Menurutnya lagi, Kuala Gandah mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, khususnya dari segi interaksi sosial, ruang pergerakan dan kesejahteraan psikologi haiwan.

"Kita bertanggungjawab memastikan setiap khazanah negara dipelihara dengan sebaiknya dan dalam isu ini, tempat paling wajar bagi mereka adalah kembali ke bumi sendiri," ujarnya lagi.