Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiba Masanya Kembalikan STAGG, STING & STAFOC - MCA

mca stagg sting stafoc
Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Unit Tindakan Khas (UTK) ketika melakukan demonstrasi pada majlis perbarisan peringatan Hari Polis ke-207 pada 25 Mac 2014 | Gambar: BERNAMA

Tiba Masanya Kembalikan STAGG, STING & STAFOC - MCA

Malaysian Chinese Association (MCA) berkata sudah tiba masanya kerajaan mengembalikan tiga pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG), Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dan Pasukan Khas Jenayah Terancang (STAFOC), bagi memperkukuh usaha membanteras sindiket dadah serta jenayah terancang.

Menurut naib presidennya, Datuk IR Lawrence Low, trend peningkatan kes jenayah, khususnya yang melibatkan sindiket pengedaran dadah dan jenayah terancang, menimbulkan kebimbangan dan memerlukan perhatian serius daripada kerajaan.

Tambahnya, beberapa insiden yang dilaporkan kebelakangan ini, termasuk penahanan seorang juruterbang warga Malaysia di Indonesia yang didakwa cuba menyeludup 26 kilogram dadah dan didapati positif dadah hasil ujian saringan, selain satu lagi kes membabitkan seorang rakyat Malaysia yang didakwa cuba menyeludup dadah dengan menyembunyikannya di bawah korset, menunjukkan sindiket terbabit semakin berani menjalankan kegiatan mereka.

"Sudah tiba masanya untuk kerajaan menilai semula keperluan mengembalikan STAGG, STING dan STAFOC bagi memperkukuh keupayaan taktikal serta risikan PDRM dalam memerangi sindiket jenayah terancang dan kartel dadah," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook MCA.

Menurut beliau, ketiga-tiga pasukan khas berkenaan telah dibubarkan pada 2018, dan keputusan itu didakwa mewujudkan kelompongan dalam aspek penguatkuasaan terhadap jenayah terancang.

Sehubungan itu, Lawrence berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat mempertimbangkan penubuhan semula pasukan khas berkenaan bagi memperkasakan operasi membanteras sindiket pengedaran dadah secara lebih bersepadu.

Beliau berkata, langkah itu juga diyakini dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pasukan keselamatan negara dalam menjaga ketenteraman awam serta menangani ancaman jenayah rentas sempadan.

Lawrence turut menegaskan bahawa keselamatan negara tidak boleh dikompromi dan usaha membanteras sindiket dadah memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh serta pasukan khas yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.

Sumber:MCA