Sumbangan kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia menyokong pembangunan sukan dan usaha melahirkan bakat pelapis negara
KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2026 – McDonald’s Malaysia hari ini menyerahkan sumbangan RM50,000 kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi menyokong pembangunan sepak takraw negara.

Sumbangan itu disampaikan sempena majlis meraikan kepulangan skuad kebangsaan yang meraih satu pingat emas dalam acara regu berpasukan lelaki dan satu pingat perak dalam acara regu lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Majlis tersebut berlangsung di McDonald’s Pandu Lalu Titiwangsa. Sumbangan itu menunaikan janji McDonald’s Malaysia sebelum skuad negara berangkat ke Sukan Asia untuk menyokong pembangunan sepak takraw sekiranya Malaysia meraih emas.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, kepada Presiden PSM, Datuk Wira Mohd Sumali Reduan.
Skuad negara kendalian ketua jurulatih Ahmad Jais Baharun menewaskan Thailand 2–0 dalam perlawanan akhir acara regu berpasukan lelaki, menamatkan penantian 36 tahun untuk meraih emas dalam acara tersebut.
Dato’ Haji Azmir berkata kejayaan tersebut memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar impian dalam bidang sukan.
“Seluruh skuad telah memberikan rakyat Malaysia satu detik yang amat membanggakan. Di sebalik pencapaian ini ada bertahun-tahun latihan, pengorbanan dan semangat berpasukan, serta sokongan keluarga, jurulatih dan pengurusan yang sentiasa bersama mereka.
“Kami berbesar hati menunaikan janji ini dan berharap sumbangan tersebut dapat membantu PSM membimbing lebih ramai bakat muda untuk melangkah lebih jauh dalam sukan sepak takraw,” katanya.
McDonald’s Malaysia turut menganjurkan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 bersama Harian Metro dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta PSM. Liga ini memberi peluang kepada pemain berusia 16 tahun ke bawah untuk menimba pengalaman bertanding di peringkat nasional sekali gus mencungkil dan mengembangkan bakat sukan warisan negara ke tahap yang lebih tinggi.
Liga ini merangkumi tiga pusingan zon yang membabitkan tiga buah negeri, iaitu Zon Tengah-Selatan di Negeri Sembilan, Zon Utara di Kedah, dan Zon Timur di Terengganu sebelum melangkah ke Pentas Akhir Kebangsaan pada 28 hingga 29 November di Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kuala Lumpur, dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM60,000.
Sebagai sebahagian daripada pengisian liga, Klinik Sepak Takraw turut dijadualkan pada 26 November di Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kuala Lumpur, bagi memberi peluang kepada peserta mempelajari teknik asas dan mencuba kemahiran permainan di gelanggang.
Komitmen McDonald’s Malaysia dalam memperkasakan belia melangkaui sukan menerusi Program Santun Pelajar, yang menyediakan baucar Nasi Mekdi kepada mahasiswa IPT. Usaha kebajikan ini melengkapi program pembangunan modal insan syarikat melalui Akademi Vokasional McDonald’s, program Akademi Dalam Industri (ADI), dan Graduate Employability Programme (GEP).
Mengulas mengenai peranan barisan pemain kebangsaan dalam menyuntik inspirasi kepada para peserta, Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Tempatan McDonald’s Malaysia, Dato’ Haji Azmir Jaafar berkata, “Kejayaan luar biasa skuad takraw negara ketika ini menjadi bukti jelas bahawa tiada apa yang mustahil, sekali gus membuka ruang buat generasi muda untuk mengimpikan kejayaan di pentas tertinggi. Kami amat berharap agar barisan pemain kebangsaan dapat turun padang untuk berkongsi pengalaman, membimbing, dan memberi dorongan moral kepada para peserta Liga Takraw Nasional Mekdi 2026. Kehadiran dan sokongan padu wira negara ini pastinya menyemarakkan lagi semangat adik-adik kita yang memasang impian untuk menyarung jersi keramat skuad kebangsaan suatu hari nanti.”
