Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

McDonald’s Malaysia menyerahkan zakat korporat berjumlah RM100,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), di samping menyalurkan bantuan kepada pelajar, keluarga asnaf dan komuniti setempat melalui sumbangan 80 Kotak Rezeki yang mengandungi barangan keperluan harian serta sumbangan wakalah berbentuk wang kepada beberapa keluarga asnaf di sekitar Kota Bharu bagi membantu meringankan beban mereka.
Majlis yang berlangsung di McDonald’s Pandu-Lalu Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada 29 Julai lalu itu menyaksikan Encik Ahmad Shihafuddin Mustapha, Pengarah, Pematuhan & Kerjasama Institusi McDonald's Malaysia menyerahkan replika cek zakat kepada YABhg. Dato' Haji Mohd Anis bin Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, McDonald’s Malaysia bersama MAIK telah melaksanakan Program Santuni Asnaf dengan mengagihkan sebanyak 20 Kotak Rezeki serta bantuan wakalah zakat secara langsung kepada keluarga asnaf menerusi ziarah ke rumah penerima dan program di Masjid Al-Karomah, Baung. Secara keseluruhannya, sebanyak 100 Kotak Rezeki telah disalurkan kepada keluarga asnaf di sekitar Kota Bharu.
Selain itu, McDonald’s Malaysia juga menyumbangkan komputer riba bernilai lebih RM50,000 kepada 15 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang kurang berkemampuan menerusi wakalah zakat syarikat. Sumbangan ini bertujuan membantu penerima memenuhi keperluan pembelajaran, termasuk mengakses bahan akademik, menyiapkan tugasan serta mengikuti pembelajaran digital dengan lebih berkesan.

McDonald’s Malaysia turut menyantuni komuniti setempat dengan menyediakan hampir 2,000 hidangan percuma kepada orang ramai di tiga restoran – McDonald’s Pengkalan Chepa, McDonald’s Kok Lanas dan McDonald’s Kuala Krai – sebagai tanda kesyukuran dan penghargaan.
Sejak menjadi syarikat milik penuh orang Islam pada tahun 2017, McDonald’s Malaysia telah menyalurkan lebih RM14 juta dalam bentuk zakat kepada pusat-pusat zakat negeri di seluruh Malaysia. Sehingga tahun ini, jumlah keseluruhan zakat yang ditunaikan oleh McDonald’s Malaysia kepada Negeri Kelantan telah mencecah lebih RM1 juta.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Dato’ Haji Azmir Jaafar, berkata usaha tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk memastikan manfaat zakat dapat disalurkan secara lebih dekat kepada komuniti.
“Sebagai syarikat 100% milik orang Islam, pembayaran zakat merupakan amanah yang kami tunaikan setiap tahun. Namun, bagi kami, tanggungjawab itu tidak terhenti pada pembayaran zakat semata-mata. Menerusi wakalah zakat, kami berpeluang menyalurkan bantuan secara lebih dekat kepada komuniti berdasarkan keperluan mereka, sama ada dalam bentuk makanan, keperluan harian mahupun sokongan kepada golongan muda,” kata Dato’ Haji Azmir.
“Usaha ini juga merupakan cara kami berkongsi rezeki dan menzahirkan penghargaan kepada masyarakat yang terus menyokong McDonald’s Malaysia. Kami berharap setiap sumbangan yang disalurkan dapat memberi manfaat yang praktikal dan bermakna kepada penerimanya,” tambah beliau.

Sementara itu, YABhg. Dato' Haji Mohd Anis bin Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK, menyambut baik komitmen McDonald’s Malaysia dalam menunaikan zakat serta menyokong golongan yang memerlukan.
“Kami menghargai komitmen berterusan McDonald’s Malaysia dalam menunaikan kewajipan zakat. Pendekatan melalui wakalah zakat membolehkan bantuan disalurkan secara lebih bersasar dalam aspek kebajikan, makanan dan pendidikan, sekali gus melengkapi usaha MAIK untuk memperluas manfaat zakat kepada komuniti di Kelantan,” kata beliau.
Inisiatif McDonald’s ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat sebagai jiran prihatin kepada komuniti di sekitar lebih 370 restorannya di seluruh negara.
Setiap tahun, syarikat melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan, termasuk menyampaikan sumbangan kepada anak yatim, menyediakan moreh untuk masjid dan surau serta menyantuni warga emas di pusat jagaan, khususnya ketika musim perayaan.
Kelantan merupakan lokasi pertama bagi inisiatif pembayaran zakat korporat McDonald’s Malaysia pada tahun 2026 sebelum usaha ini diteruskan ke negeri-negeri lain di seluruh negara bagi menunaikan zakat serta menyampaikan sumbangan kepada komuniti yang memerlukan.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan