Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MDEC Perkasa Rakyat, Usahawan Kuasai Teknologi Digital Menerusi JMD 2026

MDEC
MDEC perkasa rakyat, usahawan kuasai teknologi digital menerusi JMD 2026. Kredit foto: Haziq Hakimi/ SK

MDEC Perkasa Rakyat, Usahawan Kuasai Teknologi Digital Menerusi JMD 2026

Penggunaan teknologi digital bukan lagi sekadar soal mengikuti perkembangan semasa, sebaliknya perlu dimanfaatkan secara strategik bagi memperkukuh perniagaan, meningkatkan produktiviti serta membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk bersaing dalam ekonomi digital global.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil ketika ditemui Siakap Keli. Kredit foto: Haziq Hakimi/ SK

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Anuar Fariz Fadzil berkata, perkara itu menjadi antara fokus utama Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2026 yang dilaksanakan sebagai platform untuk memperkasakan rakyat dan usahawan menerusi penggunaan teknologi.

Menurut beliau, MDEC mahu memastikan teknologi dimanfaatkan untuk membina keupayaan perniagaan, memperluas pasaran dan meningkatkan hasil, bukannya sekadar digunakan untuk tujuan hiburan.

“Bagi saya, cara kita menggunakan teknologi bukan sekadar dalam permainan video, tetapi bagaimana kita dapat menggunakannya untuk membina penguasaan dalam perniagaan.

“Bagaimana kita dapat menaik taraf dan merintiskan perniagaan yang lebih baik. Jadi, MDEC menggunakan JMD ini sebagai pemangkin untuk melonjakkan lagi penggunaan teknologi digital ke tahap lebih tinggi,” katanya kepada Siakap Keli ketika ditemui pada Majlis Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara teknologi yang boleh dimanfaatkan usahawan ialah kecerdasan buatan (AI), e-dagang serta teknologi digital dalam sektor pertanian bagi meningkatkan kecekapan dan hasil perniagaan.

Jelasnya, penggunaan teknologi secara tepat mampu membantu usahawan memperluas pasaran bukan sahaja di dalam negara, malah membuka peluang untuk menembusi pasaran global.

“Contohnya penggunaan AI dalam teknologi dan perniagaan. Bagaimana kita boleh menggunakannya untuk memeriahkan lagi e-dagang dan meningkatkan hasil dalam industri digital tani.

“Yang penting ialah bagaimana kita menggunakannya untuk melonjakkan perniagaan ke tahap lebih tinggi, termasuk ke peringkat global,” ujarnya.

Empat teras utama JMD

Dalam pada itu, Anuar berkata, JMD 2026 memberi tumpuan kepada empat teras utama selaras dengan agenda Malaysia Digital (MD2030), iaitu literasi dan etika digital, kerjaya digital, digital freelance serta perniagaan dan keusahawanan digital.

Katanya, empat teras itu dirangka bagi memastikan masyarakat bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, malah mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk memanfaatkannya dalam kehidupan serta pekerjaan.

“Sepanjang siri jelajah ini, JMD menyasarkan lebih setengah juta pencapaian dan penglibatan secara fizikal serta dalam talian, melibatkan pelajar, belia, pencari kerja, pekerja gig dan usahawan digital,” katanya.

Beliau berkata, bagi edisi JMD kali ini, aspek perniagaan dan keusahawanan digital turut diberi penekanan khusus bagi membantu usahawan tempatan menggunakan teknologi untuk memperluas pasaran, menarik pelanggan baharu dan menguruskan operasi dengan lebih cekap.

Teknologi buka peluang baharu kepada usahawan

Anuar berkata, pengalaman MDEC menunjukkan penggunaan teknologi yang disokong latihan dan bimbingan bersesuaian mampu membawa perubahan nyata kepada rakyat serta perniagaan.

Menurutnya, antara contoh ialah usahawan dari Selangor, Nurul Jihan Muhammad Burhan, pengasas Nuts Food, yang menyertai program eUsahawan pada 2025.

Katanya, selepas memanfaatkan platform seperti TikTok Shop dan Shopee, tempahan perniagaannya meningkat daripada sekitar RM50 kepada RM300 sebulan, selain membolehkannya mengambil tiga pekerja sambilan.

“Ini menunjukkan pendidikan digital bukan sahaja membantu membuka pasaran, malah mampu mewujudkan peluang pekerjaan dan menambah sumber pendapatan,” jelasnya.

Selain itu, beliau berkata teknologi turut memberi impak kepada sektor akuakultur menerusi pembangunan sistem akuakultur pintar berteraskan AI yang membantu pengusaha meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti.

MDEC mahu lahirkan pencipta, bukan sekadar pengguna

Dalam masa sama, Anuar berkata pembangunan bakat digital perlu bermula sejak di bangku sekolah bagi memastikan generasi muda bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan dan teknologi.

Beliau berkata, JMD turut memberi ruang kepada pelajar meneroka teknologi, sekali gus membina kreativiti dan keyakinan untuk menjadi pencipta, pembangun serta inovator pada masa hadapan.

“Kita mahu generasi muda bukan sahaja menjadi pengguna, tetapi menjadi pencipta, pembangun dan inovator masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, usaha memperkasa rakyat melalui teknologi tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri, institusi pendidikan, rakan strategik dan komuniti.

Anuar berkata, JMD bukan sekadar program sehari, tetapi menjadi titik permulaan untuk menghubungkan rakyat kepada latihan, bimbingan, peluang keusahawanan serta pasaran yang lebih luas.

JMD 2026 jelajah seluruh negara

Terdahulu dalam ucapannya, Anuar berkata, JMD merupakan program turun padang Kementerian Digital bagi membawa pengetahuan berkaitan teknologi dan peluang ekonomi digital lebih dekat kepada rakyat.

Katanya, JMD tahun lalu dilaksanakan di sembilan lokasi dan memberi manfaat kepada hampir 5,000 peserta di seluruh negara.

“Damansara Damai menjadi pembuka tirai JMD 2026 sebelum siri jelajah ini diteruskan di Melaka pada minggu hadapan serta tiga lokasi lain yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Selepas Damansara Damai di Selangor, JMD akan diteruskan di Ayer Keroh, Melaka pada 15 Ogos ini.

Anuar berkata, MDEC akan terus memperjuangkan agenda transformasi digital negara menerusi inisiatif yang mempercepat penggunaan teknologi digital, memperkasa komuniti dan perniagaan serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat Malaysia berjaya dalam ekonomi digital.

Dalam perkembangan sama, Tribana Sdn. Bhd. bertindak sebagai rakan kolaborasi kepada MDEC, agensi di bawah Kementerian Digital, dalam menjayakan inisiatif berkaitan transformasi dan pendigitalan masyarakat serta perniagaan.

Beliau berkata, kejayaan agenda digital negara bergantung kepada keupayaan memastikan setiap peluang, latihan dan kemudahan teknologi dapat diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat.

“Saya amat percaya dengan kebolehan rakyat Malaysia. Penggunaan teknologi bukan sesuatu yang asing bagi rakyat kita. Persoalannya ialah bagaimana kita dapat mengaplikasikannya kepada perniagaan dan kehidupan untuk melonjakkan digitalisasi ke tahap lebih tinggi,” katanya kepada Siakap Keli, di sini, hari ini.

Intipati
  • MDEC mahu JMD 2026 memperkasa rakyat dan usahawan menggunakan teknologi secara strategik.
  • Empat teras JMD meliputi literasi digital, kerjaya digital, freelance dan keusahawanan digital.
  • JMD 2026 bermula di Damansara Damai sebelum diteruskan ke Ayer Keroh, Melaka.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan