Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Urusan rakyat dengan agensi kerajaan secara dalam talian dijangka menjadi lebih mudah apabila aplikasi MyGOV Malaysia diperkasa menerusi Kecerdasan Buatan Berasaskan Agen (Agentic AI).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, penerapan teknologi berkenaan merupakan antara usaha kerajaan memastikan perkhidmatan digital awam terus seiring dengan perkembangan teknologi semasa, selain memberikan manfaat lebih besar kepada rakyat.
“Kita perlu melihat teknologi semasa dan memastikan aplikasi atau teknologi yang kita gunakan selari dengan teknologi yang tersedia pada hari ini,” katanya ketika merasmikan Jelajah Malaysia Digital (JMD) di Dewan Komuniti Damansara Damai, semalam.
Menurut Gobind, Kecerdasan Buatan Berasaskan Agen merupakan antara perkembangan terbaharu yang sedang diterapkan dalam MyGOV Malaysia bagi membolehkan perkhidmatan kerajaan berkembang seiring kemajuan teknologi.
Beliau berkata, MyGOV Malaysia turut dibangunkan bagi menangani isu lambakan aplikasi yang perlu digunakan rakyat untuk mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan.
Katanya, kerajaan berusaha menghimpunkan perkhidmatan yang ditawarkan kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam satu platform, selain meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Ini bagi menangani isu apabila ramai yang mengatakan terlalu banyak aplikasi untuk setiap perkhidmatan yang disediakan kerajaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Gobind menggalakkan orang ramai meneroka MyGOV Malaysia dan memanfaatkan pelbagai perkhidmatan digital yang tersedia menerusi platform berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata pendigitalan bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, sebaliknya turut memastikan rakyat memahami cara menggunakannya serta memperoleh manfaat sebenar daripada kemudahan tersebut.
Menurutnya, perkembangan teknologi kini telah mengubah pelbagai aspek kehidupan seharian, termasuk cara pelajar mendapatkan maklumat untuk tujuan pembelajaran.
“Dahulu, pelajar perlu pergi ke perpustakaan untuk mendapatkan maklumat bagi menyiapkan tugasan. Hari ini, mereka boleh menggunakan telefon pintar dan internet untuk mendapatkan maklumat berkenaan,” katanya.
Gobind berkata, teknologi digital turut membuka peluang lebih luas kepada usahawan untuk mempromosikan produk, mendapatkan pelanggan, menerima bayaran secara digital serta mengurus penghantaran tanpa memerlukan pelanggan hadir ke premis secara fizikal.
Katanya, penerapan teknologi dalam perniagaan dan industri seharusnya dinilai berdasarkan manfaat sebenar yang diperoleh, termasuk peningkatan produktiviti, kecekapan operasi serta keupayaan menembusi pasaran lebih luas.
Bagaimanapun, Gobind mengingatkan bahawa perkembangan teknologi turut hadir bersama risiko, khususnya ancaman penipuan dalam talian.
Beliau berkata, masyarakat perlu menyemak kesahihan maklumat yang diterima di internet sebelum mengambil sebarang tindakan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
“Kita perlu memastikan maklumat yang diterima adalah tepat dan sahih. Jangan sampai kita terpedaya dengan maklumat palsu yang bertujuan menjadikan kita mangsa penipuan,” katanya.
Menurutnya, literasi digital perlu merangkumi pemahaman mengenai risiko penggunaan teknologi serta pengetahuan mengenai langkah yang perlu diambil bagi menghadapinya.
Gobind berkata, kerajaan akan terus memperluas usaha meningkatkan literasi digital kepada masyarakat di seluruh negara termasuk di peringkat daerah.
Katanya, JMD merupakan antara platform yang digunakan bagi mendekatkan masyarakat dengan teknologi, selain memberi peluang kepada mereka memahami kemudahan digital dan meneroka cara teknologi boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan kualiti kehidupan.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan