Utama

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Berita

Luar Negara

Berita

Berita

Sukan

Berita

Media Thailand Akui ‘Tergamam’ Dengan Kemenangan Skuad Sepak Takraw Malaysia
Hasrat Thailand meraikan pencapaian melepasi 100 pingat emas di Sukan SEA sedikit ‘tercalar’ apabila mereka dikejutkan dengan kemenangan seteru tradisi, Malaysia, dalam final acara berpasukan lelaki sepak takraw pada Ahad.
Kejayaan Malaysia itu bukan sahaja menamatkan dominasi Thailand selama 34 tahun dalam acara tersebut. Malah, ia memberi kejutan besar kepada penyokong tuan rumah yang sedang larut dalam suasana perayaan kejayaan kontinjen negara mereka.
Pada hari kelima kejohanan, Thailand berjaya melepasi sasaran 100 pingat emas. Namun, keputusan di gelanggang sepak takraw jelas menarik perhatian ramai dan sedikit mencuri kegembiraan mereka, lapor Bangkok Post.
Menurut Bangkok Post, hari tersebut secara keseluruhannya menyaksikan kejayaan besar serta kekecewaan yang tidak dijangka buat Thailand.
Walaupun mendominasi pungutan pingat, kekalahan dalam acara sepak takraw membuktikan bahawa Sukan SEA penuh dengan kejutan yang tidak dijangka.
Tambah Bangkok Post, bagi generasi peminat Thailand, kekalahan kepada Malaysia dalam final acara berpasukan lelaki sepak takraw merupakan sesuatu di luar jangkaan. Keputusan itu juga menjadi peringatan bahawa keunggulan serantau tidak boleh diambil mudah.
Aksi final yang berlangsung di Pusat Sukan Perbandaran Nakhon Pathom dengan kapasiti 4,000 penonton menyaksikan Malaysia bangkit menentang Thailand, dengan keputusan 2-1.
Cabaran Malaysia pada perlawanan akhir sebentar tadi tidak bermula dengan baik apabila regu pertama yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir terpaksa akur tewas tipis 1-2 kepada lawan. Regu negara kalah pada set pertama 9-15, bangkit memenangi set kedua 15-11, namun tewas 13-15 pada set penentuan.
Malaysia kembali bangkit dalam perlawanan kedua apabila menurunkan regu terbaik yang dianggotai Shahir Rosdi, Azlam Alias dan Farhan Adam. Regu ini mempamerkan aksi cemerlang menewaskan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan dari Thailand dengan keputusan 17-14, 15-13 sekali gus menghidupkan peluang negara.
Perlawanan penentuan menyaksikan regu ketiga negara yang dibarisi Zulkifli Razak, Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi menunjukkan momentum baik apabila bangkit daripada ketinggalan 0-7 untuk memenangi set pertama 13-5.
Pada set kedua, kemasukan Zarif Marican Ibrahim Marican menggantikan Zulkifli memberi impak besar apabila regu negara terus menguasai permainan sebelum mengesahkan kemenangan 15-11.
Kejayaan tersebut sekali gus memastikan pingat emas menjadi milik Malaysia, menamatkan dominasi Thailand dan mengakhiri kemarau panjang negara dalam acara regu berpasukan lelaki sepak takraw di pentas Sukan SEA.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia memenangi emas acara itu adalah dalam edisi di Manila, Filipina, di mana ketua jurulatih skuad kebangsaan, Ahmad Jais Baharom, turut mewakili negara ketika itu.
BACA: Kantoi Guna Perisian Terlarang, Pemain E-Sukan Wanita Thailand Disingkirkan
Sumber: Bangkok Post