Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hari ini lebih 30 syarikat mengikuti sesi Dialog Gerbang Halal Malaysia-China di Shanghai anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC) dan dengan kerjasama China Silk Road Group Ltd. Sesi dialog ini merupakan satu detik penting ke arah meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala dalam sektor halal.
Industri halal bukanlah tentang perniagaan semata-mata; ianya satu gerakan global yang bertunjangkan kepercayaan, kualiti, dan pematuhan kepada piawaian yang ketat.
Malaysia, telah mempelopori bidang ini sejak 50 tahun lalu telah berkembang daripada sistem pensijilan asas menjadi pelopor pensijilan halal yang disegani di peringkat global.
China memiliki peluang pasaran yang besar dengan populasi Islam berjumlah kira kira 30 juta orang. Meskipun terdapat sedikit cabaran berkait protokol eksport halal dan kawal selia di negara ini – potensi pertumbuhannya masih dilihat memberangsangkan menerusi jalinan-jalinan kerjasama strategik yang telah dilakukan.
Sehingga Julai 2024, China merupakan destinasi utama eksport halal Malaysia, dengan nilai traksaksi berjumlah RM6.25 bilion (USD 1.4 bilion). Walau bagaimanapun, masih terdapat potensi besar yang belum diterokai terutamanya dalam bidang pensijilan dan pengiktirafan pasaran.

Laporan Ekonomi Islam Global 2023/24 turut menyatakan bahawa pasaran halal global sedang mengalami pertumbuhan yang luar biasa. Perbelanjaan oleh pengguna Muslim sahaja telah mencecah $2.29 trilion pada 2022 iaitu peningkatan 9.5% daripada tahun sebelumnya.
Pasaran yang sedang berkembang ini memberikan peluang yang luas kepada Malaysia dan China dan sejajar dengan visi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 untuk mewujudkan pasaran baharu dan meningkatkan pengusaan di peringkat global.
Selain itu, pasaran halal turut menawarkan peluang yang besar di dalam BRICS dan ASEAN. Negara-negara BRICS, termasuk China, India, dan Rusia memiliki ruang yang signifikan untuk diterokai bersama.

Di ASEAN, rantau ini telah menyumbang lebih daripada USD 1.4 trilion bagi pasaran halal global. Dengan memanfaatkan rangka kerja BRICS dan ASEAN, kerjasama antara Malaysia dan China dilihat berupaya menguasai sebahagian besar pasaran dan memacu industri ini ke peringkat yang lebih tinggi.
Walau bagaimanapun, isu mengenai pengiktirafan pensijilan halal masih menjadi salah satu cabaran utama yang perlu ditangani. Sehingga kini, Malaysia mengiktiraf 88 badan pensijilan di seluruh dunia termasuk 6 daripadanya dari China.
Langkah untuk menyelaraskan piawaian oleh badan-badan pensijilan halal ini telah dimulakan dan sedang di dalam proses untuk mencapai kesepakatan terbaik. Oleh itu, forum ini salah satu usaha bagi menyediakan platform terbaik bagi meneroka penyelesaian, menyelaraskan proses pensijilan, dan meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara.

Meskipun begitu, Malaysia kekal komited untuk menyokong syarikat-syarikat China dengan pensijilan halal, perundingan, latihan dan kemudahan perdagangan melalui HDC. Objektif kita jelas bagi memudahcara proses perniagaan China yang memenuhi standard halal untuk memasuki pasaran Malaysia sebelum ianya berkembang lebih jauh ke pasaran halal global.
Kesimpulannya, meskipun masih wujud cabaran melibatkan industri halal ini, namun kita perlu terus bergerak ke hadapan dengan melihat peluang dan potensi besar yang tersedia untuk diterokai dengan mengukuhkan kerjasama bagi menangani sebarang isu melibatkan pensijilan halal bagi bersama-sama meneroka potensi pasaran baharu menerusi BRICS dan ASEAN.
Pada masa yang sama, kita juga harus mengiktiraf kepentingan diplomasi halal serta menghargai perkongsian dan kerjasama yang telah dimeterai. Dengan itu, kedua-dua negara boleh memanfaatkan kekuatan masing-masing, berkongsi kepakaran, dan memastikan produk halal yang dipasarkan mampu memenuhi piawaian tertinggi untuk pengguna Muslim di seluruh dunia.