Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Menteri Pendidikan Singapura Minta Ahli Parlimen Jawab Soalan Matematik PSLE

Menteri Pendidikan Singapura
Kredit: Straits Time

Menteri Pendidikan Singapura Minta Ahli Parlimen Jawab Soalan Matematik PSLE

Menteri Pendidikan Singapura, Desmond Lee mendapat perhatian ramai selepas mengedarkan kertas yang mengandungi soalan matematik Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) 2022 kepada semua ahli Parlimen.

Menerusi video yang dikongsikan oleh Straits Time di Instagram, beliau mengajak ahli Parlimen sendiri mencuba dan menyelesaikan soalan tersebut supaya mereka memahami sendiri konteks serta kesukaran soalan dalam peperiksaan PSLE.

Tindakan ini dilakukan semasa beliau menyampaikan kenyataan dalam perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pendidikan pada 3 Mac lalu.

Beliau menjelaskan bahawa edaran kertas tersebut bertujuan untuk menunjukkan bagaimana sebahagian soalan dirangka untuk menguji kemahiran pemikiran kritikal pelajar.

Manakala soalan lain disusun secara berperingkat bagi membolehkan mereka menyelesaikannya secara progresif.

Lee menyatakan demikian sebagai respons kepada usulan beberapa AP mengenai tahap kesukaran soalan PSLE, serta cadangan untuk menggugurkan PSLE sebagai peperiksaan utama.

PSLE membolehkan pelajar mencuba soalan mencabar

“Dengan izin Tuan Pengerusi, bolehkah saya meminta Kerani untuk mengedarkan satu soalan Matematik?

“Soalan ini menilai kemahiran penyelesaian masalah, dengan menguji bagaimana pelajar menerapkan matematik dalam situasi yang kurang biasa

“Dalam kes ini, ia melibatkan limpahan air, yang mempunyai aplikasi dunia sebenar pada masa depan, contohnya dalam bidang kejuruteraan.

“Seperti yang dapat dilihat, soalan ini sedikit lebih mencabar. Sila balikkan helaian, dan bandingkan dengan soalan di halaman seterusnya,” kata Lee.

Tambah beliau lagi, soalan matematik Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) 2022 disusun secara berstruktur, dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu (a) dan (b), berbanding soalan pertama yang terus memberi lima markah sekaligus.

Bahagian (a) bernilai dua markah dan bertujuan membimbing pelajar mencari isipadu air dalam bekas X terlebih dahulu, yang dianggap langkah mudah dan kebanyakan pelajar dapat menyelesaikannya.

Sementara itu, Bahagian (b) yang bernilai tiga markah lebih mencabar kerana melibatkan pengiraan semula apabila air dituangkan dari Y ke X dan sebahagian air melimpah.

Soalan ini menilai pemikiran kritis pelajar dalam mengambil kira perubahan tersebut.

Walaupun cabarannya tinggi, semua konsep yang diuji adalah berdasarkan silibus sekolah rendah tanpa memerlukan pengetahuan tambahan.

Menurut pakar pendidikan, perbezaan antara kedua-dua soalan ini jelas, dan penggunaan pendekatan berperingkat (scaffolding) membolehkan pelajar mencuba soalan mencabar secara beransur-ansur.