Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah
Tiada Kategori

Mesyuarat Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) Ke-34

Syamimi

Mesyuarat Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) Ke-34

Mesyuarat Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) ke-34 telah berlangsung hari ini di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Malaysia. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia. Mesyuarat turut dihadiri oleh semua Negara Anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN serta Timor-Leste sebagai Pemerhati.

Mesyuarat ini menegaskan semula komitmen bersama untuk memperkasa visi ASCC ke arah ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berteraskan rakyat, sejajar dengan Visi Komuniti ASEAN 2045.

Mesyuarat turut merakamkan ucapan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan pelaksanaan keutamaan di bawah Pengerusian ASEAN 2025 dengan tema “Inklusiviti dan Kelestarian,” yang menekankan komitmen ASEAN untuk memperhebat dan memperkukuh usaha ke arah pembangunan yang inklusif serta lestari di rantau ini.

Mesyuarat juga mengambil maklum inisiatif Malaysia yang memperkukuh perpaduan serta identiti budaya serantau, selaras dengan nilai-nilai Malaysia MADANI yang menekankan Kelestarian, Keterangkuman dan Belas Ihsan, Hormat, Inovasi, Kemakmuran dan Kepercayaan.

Mesyuarat turut menekankan kepentingan memupuk kerjasama budaya, menggalakkan peluang ekonomi yang lestari dan inklusif, serta memperdalam penghargaan terhadap warisan bersama ASEAN sebagai pemangkin utama dalam pembinaan komuniti dan perpaduan serantau.

Dalam mesyuarat tersebut, Majlis ASCC turut mengesahkan sokongan terhadap keutamaan utama di bawah Pengerusian ASCC Malaysia seperti berikut:

i. Warisan Budaya untuk Penjanaan Nilai

ii. Kecerdasan Buatan (AI), Pendigitalan dan Pekerjaan Hijau ke arah Memperkukuh Kemahiran dan Bakat Masa Depan ASEAN

iii. Inisiatif ASEAN Sihat ke Arah ASEAN Makmur

iv. Potensi Belia dan Sukan untuk Semua bagi Memupuk Pertumbuhan, Perpaduan dan Kecemerlangan

v. Tindakan Iklim untuk Tadbir Urus, Perkongsian dan Pemilikan Bersama

Mesyuarat turut mengambil maklum pelbagai inisiatif rentas tonggak dan rentas sektor yang sedang dilaksanakan oleh ASCC, termasuk usaha Menghapuskan Buruh Kanak-kanak serta Promosi dan Perlindungan Hak Pekerja Migran; Pelan Tindakan Serantau ASEAN mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan; ASEAN Development Outlook Jilid 2; Rangka Kerja Menyeluruh ASEAN mengenai Ekonomi Penjagaan; Pelan Tindakan Bersama dan Rangkaian Satu Kesihatan ASEAN (ASEAN One Health); Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak di Asia Tenggara serta Kenyataan Vientiane mengenai Kesamarataan, Akses dan Alam Sekitar bagi Memperkukuh Daya Tahan Iklim dalam ECCE; Rangka Kerja Kelestarian Ekonomi Kreatif ASEAN; Program Platform Penyelidikan dan Pembangunan ASCC; dan Buku Panduan Strategi bagi Mempromosi Komuniti ASEAN yang Adaptif, dengan Kefahaman, Toleransi dan Kesedaran Serantau yang Lebih Mendalam dalam kalangan Rakyat ASEAN.

Para Menteri Majlis ASCC turut mengalu-alukan dan menyatakan sokongan terhadap keputusan Pemimpin ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 untuk menerima kemasukan Timor-Leste sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober 2025.

Mesyuarat turut merakamkan ucapan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan mempengerusikan Mesyuarat Majlis ASCC ke-33 dan ke-34 tahun ini di bawah Pengerusian Malaysia. Malaysia kekal komited untuk menyokong pembangunan tonggak rakyat ASEAN.