Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Meta Dibicarakan Di AS Atas Dakwaan Sebabkan Kanak-Kanak Ketagih Media Sosial

Ketagih Media Sosial
Kredit: Bernama

SAN JOSE (California), 19 Ogos (Bernama-dpa) -- Satu perbicaraan yang berpotensi memberikan impak besar melibatkan penggunaan aplikasi Meta oleh kanak-kanak, bermula di California pada Selasa.

Meta dituduh dengan sengaja menggalakkan penggunaan berlebihan platform media sosialnya oleh golongan bawah umur, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Sekumpulan 29 negeri yang mengambil bahagian dalam pertuduhan tersebut juga mendakwa bahawa syarikat induk Instagram dan Facebook berkenaan menyembunyikan risiko ketagihan itu daripada ibu bapa dan orang ramai.

Meta menafikan dakwaan itu.

Perbicaraan juri di Oakland bermula dengan kenyataan pembukaan pada Selasa.

Negeri-negeri yang diketuai California, menuntut penalti kewangan serta perubahan kepada model perniagaan Meta.

Menurut Meta dalam pemfailan mahkamah baru-baru ini, penalti yang diminta oleh negeri-negeri itu adalah berlebihan dan boleh berjumlah US$1.4 trilion, jumlah yang dikatakan boleh mengancam kewujudan syarikat tersebut.

Peguam bagi negeri-negeri itu bagaimanapun berkata jumlah berkenaan mungkin mencecah hampir US$200 bilion.

Meta baru-baru ini kalah beberapa kes di mahkamah Amerika Syarikat (AS).

Awal bulan ini di New Mexico, Meta diarahkan membayar lebih setengah bilion dolar untuk membiayai bantuan bagi kanak-kanak yang dirugikan oleh penggunaan media sosial.

Syarikat itu juga diarahkan supaya memperkenalkan sekatan tambahan untuk pengguna di bawah umur 18 tahun di negeri tersebut, termasuk mengehadkan penggunaan Facebook dan Instagram mereka kepada maksimum 90 jam sebulan.

Meta merancang untuk merayu.

Pada Mac, Meta dan platform video Google YouTube tewas satu kes penting mengenai ciri ketagihan perkhidmatan dalam talian, seperti penatalan tanpa had dan pengesyoran kandungan beralgoritma.

Juri di Los Angeles menyimpulkan bahawa platform itu telah bertindak cuai dan gagal memaklumkan pengguna tentang risiko ketagihan dengan secukupnya.

Kedua-dua syarikat berkenaan diarahkan membayar US$6 juta kepada seorang wanita muda.

Syarikat terbabit juga merancang untuk merayu keputusan tersebut.